Biarpun punya bakat dalam bidang nyanyian, namun bukan senang hendak menempa nama dalam industri. Malah, lambakan penyanyi-penyanyi baharu dari pelbagai platform menyukarkan lagi hasrat tersebut.

Pernah berputus asa untuk bergelar penyanyi, Muna Shahirah, 25, menganggap setiap individu itu sudah ditentukan rezeki masing-masing cuma lambat atau cepat sahaja yang membezakan.

Selepas membina nama dengan single pertama berjudul Takdir Cinta, penyanyi muda ini kini semakin dikenali ramai dengan single keduanya, Teguh Setia.

Muna bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni dipermudahkan.

Memilih genre balada, ujar Muna yang dicungkil bakat nyanyiannya melalui program realiti Akademi Fantasia musim ke-11 pada 2014, lagu-lagu berkonsep demikian lebih sesuai dengan vokalnya.

“Sejujurnya saya pernah putus asa kerana sebelum ini terpaksa bergerak sendiri tanpa pihak pengurusan. Memang susah memandangkan saya pun masih ‘hijau’ dalam bidang ini.

“Alhamdulillah selepas disunting menjadi artis rakaman FMC Music, sedikit demi sedikit karier seni saya mula berkembang dan mendapat perhatian. Jadual dan show juga lebih terurus,” ujar pemilik nama lengkap Muna Shahirah Munadi ini kepada MHE TV.

Walaupun memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik dari Universiti Sains Malaysia (USM), kongsi anak kelahiran Johor ini, niat utamanya terjun ke bidang seni adalah untuk membantu kedua orang tuanya mencari rezeki.

“Sebagai anak sulung, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga. Memang saya ada ijazah dan berpeluang untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi tapi pada saya menuntut ilmu ini tiada batas masa. Kalau tidak sekarang, di masa lain pun saya boleh berbuat demikian.

“Keutamaan saya sekarang adalah pada keluarga. Kesian tengok ayah kerja penat, usia pun makin lanjut jadi sebagai anak, saya perlu bekerja untuk membantu ekonomi keluarga,” ujar anak sulung daripada tiga beradik ini. – MHE TV

Iklan