Ulang tahun kelahiran Alif Satar ke-29 yang disambutnya semalam begitu bermakna apabila isterinya, Sha Dila Halid menghadiahkan penyanyi dan pelakon itu seorang anak lelaki.

Menurut Sha Dila, dia sangat terharu hingga mengalirkan air mata apabila menyaksikan momen suaminya mengazankan cahaya mata ketiga mereka itu.

“Saya tidak berpeluang menulis apa-apa sempena ulang tahun kelahiran suami saya tersayang tetapi saya telah memberikan dia hadiah yang paling manis, anak lelaki,” katanya.

Sha Dila selamat bersalin pada pukul 11.21 malam tadi di sebuah hospital di ibu negara.

Dia turut berkongsi sekeping foto hitam putih yang dimuat naik dalam instagram menunjukkan Alif mendukung bayinya.

Bagaimanapun, setakat ini pasangan itu belum lagi mengumumkan nama anak lelaki mereka itu.

Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014. Terdahulu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Alisha Anugerah, 4 dan Ariana Mecca, 2.

Iklan