Ibarat lagu dan irama, fesyen dan kecantikan dalam kehidupan kaum wanita tidak dapat dipisahkan. Tidak kira individu itu seorang yang gemar bergaya dan bersolek atau sebaliknya, lain orang lain citarasanya.

Begitu juga dengan keterampilan Raja Permaisuri Agong Ke-16, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa mencuri perhatian ramai. 

Menerusi sebuah video di Facebook Utusan Online, Tunku Azizah berkongsi tentang cara baginda berfesyen dan menjaga kecantikan.

Walaupun mampu untuk memiliki pakaian atau barangan daripada jenama terkemuka, baginda lebih gemar untuk bersederhana. 

Personaliti sederhana yang dimiliki Tunku Azizah disenangi rakyat jelata.

“Tudung bawal saya tidak ada la sampai RM80,000, RM50,000, baik saya beli rantai emas.

“Saya ada beg Gucci atau LV. Saya ada semua itu tetapi saya tidak pandai untuk terlalu berfesyen. 

“Cukuplah round neck dan straight atau pun baju kurung,” kongsi Tunku Azizah tentang gaya fesyen baginda.

Tunku Azizah juga menjelaskan baginda banyak mendapatkan tip fesyen daripada pereka terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim.

Baginda menyatakan Rizalman sangat memahami fesyen yang sesuai dengan dirinya.

“Datuk Rizalman faham. Dia cakap less is the best, elegant dan saya sendiri suka pakai baju kurung Johor malah saya memang suka pakai baju kurung.

“Semenjak berkahwin dengan Tuanku, itulah fesyen saya. Mungkin gaya tudung saja yang ada perubahan.

Tunku Azizah sentiasa berada di samping suami tercinta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada 30 Julai lalu.

“Pasal corak baju, saya suka yang kosong sahaja. Mungkin bosan pada orang lain tetapi itulah yang saya suka dan pakai semenjak berkahwin sampai sekarang. 

“Dulu saya suka pakai seluar jeans dengan kemeja T, tetapi sekarang sudah tidak sesuai. Kenalah ikut umur,” titah baginda memperincikan fesyen yang menjadi kegemarannya.

Dalam menjaga kecantikan wajah pula, baginda mengakui jarang bersolek namun masih menjaga kesihatan kulit wajah. 

“Saya rasa, sayalah paling malas nak cuci muka. Cukuplah guna pencuci muka serta krim dan jarang pakai alat solek.

“Tuanku tidak suka saya pakai mekap. Jadi saya pun jarang bermekap tetapi saya ada pakai krim dan serum.

“Bila ambil gambar untuk fotografi pun saya mekap sendiri. Rizalman touch up saja. Dia cakap tak payah nak lebih-lebih sebab itulah wajah saya. Cukuplah natural look,” titah baginda yang baru sahaja menimang cucu ketiga pada 23 Julai lalu. – MHE TV 

Iklan