Dihujani terlalu banyak cemuhan dan kecaman ekoran kontroversi dicetuskan oleh penyanyi Aliff Aziz, ibunya Siti Hafiza Sheikh Muhamad reda dengan apa yang menimpa nasib anaknya.

Kata Siti Hafiza, tuduhan warganet terhadap mereka terlalu berat sehingga ada yang sanggup mengkafirkan mereka sekeluarga.

“Sudah ramai yang mengkafirkan dan bercakap buruk tentang keluarga kami namun sebagai ibu dan ayah, kami reda.

“Cukup-cukuplah warganet atau sesiapa sahaja memburukkan kami. Kami tahu dan reda kerana itu ujian Allah buat kami sekeluarga,” ujarnya kepada MHE TV.

Mengulas penjelasan suaminya, Aziz Sapdan semalam, jelas Siti Hafiza apa yang dimaksudkan suaminya itu bukan bermakna mereka menyokong perbuatan Aliff.

“Suami saya seorang yang sangat baik, dia tidak sangka percakapannya itu akan mengundang kecaman. Sebagai ayah, dia langsung tidak berniat untuk menyokong perlakuan anaknya itu.

“Kami minta sangat-sangat. Kami ini insan biasa tapi sebagai ibu dan ayah sudah tentu kami tidak akan menyokong perbuatan yang tidak baik.

“Tidak sama sekali walaupun itu anak kandung kami sendiri. Namun ia tidak bermakna yang kami tidak memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak,” katanya.

Siti Hafiza reda dengan ujian yang terjadi pada mereka sekeluarga.

Jelas Siti Hafiza, setiap ibu pasti memberikan didikan yang terbaik buat anak mereka daripada sebesar tapak tangan dengan penuh kasih sayang.

“Anak-anak mula berhadapan dengan cabaran apabila melangkah ke alam dewasa. Namun tidak semestinya seorang insan itu akan buruk selamanya, jika Allah mengkehendaki mungkin dia akan berubah menjadi lebih baik,” ujarnya.

Selasa lalu, tular dalam media sosial pendedahan tentang kecurangan terbaharu membabitkan pelakon Aliff Aziz dengan seorang gadis Tiktok yang menggunakan nama Nismell.

Kes curang Aliff Aziz ini adalah yang ketiga sepanjang dia berkahwin dengan Bella Astillah. Pertama kali berlaku membabitkan pelakon Afifah Nasir pada 2017 dan kejadian kedua berlaku Februari lalu melibatkan pelakon Oktovia Manrose. –MHE TV

Iklan