Setelah sekian lama tidak menunjukkan wajah terkini dalam laman sosial Instagramnya, Nicholas Saputra hari ini buat kali pertamanya berswafoto menerusi satu entri yang dimuat naik olehnya dalam laman tersebut.

Nicholas yang lebih dikenali sebagai Rannga menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta, menunjukkan dirinya yang baharu sahaja selesai mengundi dalam Pilihan Raya Umum Indonesia 2019.

Menerusi entri tersebut, Nicholas, 35. mengucapkan terima kasih kepada teman-teman khususnya rakyat Indonesia kerana turut sama turun mengundi sepertinya.

“Baiklah… Terima kasih kepada teman-teman yang sudah ikut berpartisipasi dalam pemilu 2019. Tetap damai dan selamat merayakan demokrasi.

“Posting ini akan dihapus dalam waktu 24 jam,” tulis Nicholas.

Namun, rata-rata warganet memohon agar pelakon itu tidak menghapuskan swafoto tersebut memandangkan sebelum ini Instagram Nicholas tidak pernah menunjukkan dirinya.

Daripada 693 foto di dalam laman sosial tersebut, kesemuanya memaparkan foto-foto pemandangan yang memukau di negara-negara yang dilawatinya.

Ketika berita ini ditulis, Nicholas sudah menerima tanda suka lebih 264,000 dan mendapat lebih 30,000 komen daripada para peminatnya.

Apa yang pasti,kesemua mereka menunggu dengan sabar sama ada Nicholas akan mengotakan kata-katanya atau memenuhi permintaan para peminatnya untuk tidak menghapuskan swafoto tersebut. – MHE TV

Ruang komen
Iklan