Gara-gara menyalahgunakan kuasa ketika mempunyai jawatan dalam kerajaan, seorang bekas menteri kanan dipercayai akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Menurut sumber, bekas menteri terbabit akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Beliau akan dipanggil terlebih dahulu ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi merekodkan kenyataannya. Kita akan beri notis kepada beliau untuk hadir ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, untuk pertuduhan kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan dilakukan di dua mahkamah iaitu Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam kerana perbuatan itu berlaku di dua lokasi berkenaan.

Siasatan mendapati, bekas menteri tersebut dikatakan menerima sejumlah wang sogokan daripada sebuah syarikat yang digunakannya untuk tujuan peribadi,” katanya.

Tambahnya, pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut bersekongkol berkaitan kes berkenaan juga akan didakwa dalam masa terdekat.

“Fasa kedua, pegawai JIM yang terbabit seterusnya akan dibawa ke mahkamah untuk pertuduhan,” katanya.

Untuk rekod, syarikat berkenaan merupakan sebuah syarikat yang dilantik dan diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan oleh akhbar Harian Metro melalui laporan eksklusif mereka yang bertajuk ‘Beruk Boleh Mohon’ pada 14 November 2018 yang mana pasukan wartawan akhbar ini ke pergi ke Guangzhou, China bagi melihat sendiri operasi yang dilakukan oleh syarikat terbabit.

Laporan itu mendedahkan, sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat itu sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) yang membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun tapisan keselamatan dilakukan amat lemah ibaratnya seperti meluluskan kemasukan seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Syarikat itu juga diberi hak memungut bayaran RMB160 atau RM100 untuk setiap permohonan tanpa menyalurkan kepada kantung kerajaan. – MHE TV

Iklan