Setelah merealisasikan minat dan hobi kedua-dua anaknya dengan menubuhkan kelab bola sepak RR Cougars FC sejak pertengahan tahun lalu, aktres Rita Rudaini bakal menganjurkan pula pertandingan RR Junior Cup 2019 pada Julai depan.

Menurut Rita, dia tidak menyangka sambutan menggalakkan daripada penganjuran pertama tahun lalu membuatkan dia mahu meneruskan penganjuran kali kedua tahun ini.

“Pada Oktober tahun lalu, kami anjurkan kejohanan buat kali yang pertama dan sambutannya amat menggalakkan.

“Jadi tahun ini saya teruskan dan insya-Allah saya mahu jadikan pertandingan ini sebagai perlawanan setiap tahun,” katanya selaku Presiden RR Cougars FC.

Rita Rudaini selaku Presiden kelab RR Cougars optimis dengan misi melahirkan golongan pelapis sekali gus memartabatkan lagi sukan bola sepak tanah air.

Sementara itu, mengulas mengenai penubuhan kelab tersebut, Rita berkata, dia lega kerana dapat merealisasikan impian dan minat dua puteranya, Airit Rayyan Rizqin, 10 dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

“Walaupun mengakui penat menguruskan sebuah kelab bola sepak namun dia seronok kerana dapat memenuhi hobi anak-anaknya.

“Pada mulanya anak-anak saya tidak minat bermain bola sepak tetapi lama kelamaan mereka mula meminatinya kerana pengaruh rakan di sekolah.

“Jadi saya tubuhkan kelab ini dan secara tidak langsung mereka dapat peluang untuk bermain bola sepak berbanding kalau saya hantar dia ke kelab lain mungkin peluang itu lambat sebab mereka pun bukanlah pandai sangat bermain bola.

“Penat sebenarnya menguruskan sebuah kelab tetapi saya seronok lebih-lebih lagi anak-anak saya juga gembira dapat bermain bola,” katanya.

Kejohanan RR Junior Cup 2019 yang bakal berlangsung pada 20 dan 21 Julai di Arena Bola Sepak Eco Ardence, Setia Alam itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun, 10 dan 8. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 Jun ini.

Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang RM1,000 berserta medal dan trofi, tempat kedua RM700 berserta medal dan tempat ketiga RM500 berserta medal.

Rita juga meuar-uarkan kepada pasukan yang datang dari luar Lembah Klang boleh mendapatkan penginapan di Oakwood Hotel & Residence dengan harga yang berpatutan. – MHE TV

Foto: Fauzi Baharudin

Iklan