Vokalis U-topia, Afee memohon peminat dan orang ramai menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran di Bentong, Pahang pada 16 Mei lalu.

“Kejadian berlaku di Kampung Kuala Repas sekitar pukul 6.30 petang melibatkan rumah sahabat U-topia, Mohamed Afeeq Awaluddin dan keluarganya.

“Sedih dapat tahu berita menimpa Afeeq sekeluarga dan jiran-jirannya itu. Malangnya rumah Afeeq paling terjejas kerana sewaktu kejadian, dia dan keluarga tidak ada di rumah.

“Malam tadi Afeeq datang ke rumah mengadu nasibnya dan sempat saya memberikan sumbangan pakaian apabila mendapat tahu, dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang,” kata Mohamad Safee Soefian atau Afee selaku vokalis U-topia kepada URTV.

“Saya harap sudilah juga peminat-peminat U-topia dan orang ramai tampil membantu memberikan pakaian, barangan keperluan asas atau wang ringgit untuk mereka,” tambahnya.

Ketika bercakap dengan Mohamed Afeeq Awaluddin pagi tadi, beliau memberitahu URTV, “Saya menyewa di kuaters surau kampung, tinggal dengan isteri dan seorang anak kami.

“Dua orang anak lagi dah kahwin tinggal di tempat lain dan seorang lagi anak kami tinggal dengan datuknya.

“Sewaktu kejadian, saya dengan keluarga berada di bazar Ramadan.

“Semua barang dalam rumah tak dapat diselamatkan bila api cepat merebak. Rumah jiran bersebelahan kami, juga terlibat.

“Hubungan saya dengan Afee dan U-topia sebagai sahabat kerana sejak dulu saya menyokong band ini. Kalau mereka ada show, saya sering ikut sama. Saya berterima kasih atas keprihatinannya bila mendengar masalah saya dan keluarga.”

Afeeq menganggarkan kerugian dialami sebanyak RM18,000 apabila barang perniagaannya turut hangus.

“Sebelum ini saya membuat perniagaan membekalkan pati minyak wangi, antaranya gaharu. Semuanya dah habis terbakar. Punca kejadian tak dapat dikesan lagi tapi saya percaya berkaitan litar pintas. Maklumlah, kuaters itu sudah lama,” tambahnya yang sekarang menumpang duduk di rumah ayahnya di alamat 46, Taman Wangi, Jalan Kuala Lumpur, 28700,Bentong, Pahang.

Dan jika ada yang ingin memberikan bantuan kepada beliau, boleh menghubungi alamat tersebut. Jika ada sumbangan kewangan secara peribadi kepada Afeeq, boleh menggunakan akaun Maybank 1561 3260 2548.

Sama-sama kita berdoa agar Afeeq dan mangsa kejadian lain beroleh hikmah dan rezeki di sebalik tragedi ini.

Dan pada bulan mulia ini usaha murni menghulurkan sumbangan dengan keikhlasan adalah perbuatan yang baik. Ingat lah, sesungguhnya Allah menyukai orang yang tidak sombong dengan harta-hartanya. – URTV

Jom layari www.urtv.com.my untuk banyak lagi kisah artis yang menarik.

Iklan