Aktor prolifik, Keanu Reeves memang dikenali sebagai artis yang sangat menjaga privasi dan tidak akan bercerita hal peribadi termasuk hubungan cintanya kepada khalayak. 

Namun baru-baru ini, bintang filem John Wick: Chapter 3 – Parabellum ini secara sendirinya membuka mulut mengenai wanita yang pernah disukai. 

Kata pelakon berasal dari Kanada itu, dia pernah ada hati pada gandingannya dalam filem Speed yang ditayangkan pada tahun 1994. Siapa lagi kalau bukan, Sandra Bullock.  

Pengakuan tersebut diungkap Keanu ketika hadir sebagai tetamu program Ellen DeGeneres Show pada Jumaat lalu. 

Mulanya Ellen menyiarkan klip rakaman semasa Sandra Bullock menjadi tetamu pada sekitar Disember tahun lalu. 

Ketika dia diminta menggambarkan dan mengingati semula betapa kacaknya Reeves sewaktu mereka bergandingan dalam filem Speed, Bullock pun mengaku dia sebenarnya pernah tertarik kepada bekas suami aktres Jennifer Syme itu.

Salah satu babak lakonan Keanu Reeves dan Sandra Bullock dalam filem Speed.

Namun wanita berusia 54 tahun itu hanya memendam perasaan tersebut disebabkan dia tahu Reeves bukanlah seorang yang mudah menjalin hubungan cinta baik di lokasi penggambaran mahupun di luar.

“Saya teringat betapa manis dan kacaknya Keanu Reeves. Tapi saya tidak pernah berharap dapat bercinta dengan dia. 

“Lagipun rasanya ada sesuatu tentang saya yang tidak disukainya,” dedah Bullock.

Tatkala melihat rakaman klip video tersebut, Reeves seolah-olah tergamam. Dan ketika ditanya Ellen, adakah dia menyedari selebriti itu menyukai dirinya, Reeves menjawab, “Tidak”.

Keanu Reeves membuat pengakuan pernah meminati Sandra Bullock, ketika hadir dalam program Ellen DeGeneres Show, pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, aktor berusia 54 tahun itu tertawa dan berkata, Bullock juga sebenarnya tidak mengetahui bahawa dia pernah merasai perasaan yang sama. 

“Dia pasti tidak tahu kalau saya juga pernah menyukainya. Dapat bekerjasama dengannya adalah sesuatu yang sangat menyenangkan. 

“Bullock seorang wanita dan aktres yang luar biasa,” tambah Reeves.- MHE TV

Iklan