Sebut Raja Bersiong, teringat kisah yang amat popular di negeri Kedah kerana Raja Bersiong dikatakan pernah memerintah negeri tersebut yang berpusat di Lembah Bujang.

Negeri Kedah ketika itu merupakan sebahagian daripada Kerajaan Sriwijaya.

Nama sebenar Raja Bersiong ialah Raja Ong Maha Perita Deria. Raja keempat daripada keturunan Merong Mahawangsa ini digambarkan sebagai seorang yang kejam dan zalim kerana mempunyai nafsu luar biasa apabila gemar menikmati darah manusia sebagai hidangan.

Selera pelik ini dikatakan bermula secara tidak sengaja apabila seorang tukang masak istana terhiris jarinya ketika sedang memasak sehingga darah menitis jatuh ke dalam masakannya.

Takut dijatuhi hukuman, tukang masak merahsiakan hal tersebut. Makanan tersebut dihidangkan kepada Raja Bersiong seperti biasa.

Apabila menyantapnya, Raja Bersiong rasa masakan itu terlalu enak, tidak seperti kebiasaan. Baginda meminta tukang masaknya menceritakan resipi yang digunakan sehingga memaksa tukang masak menceritakan hal sebenar.

Apabila mengetahui punca sebenar masakan itu enak, Raja Bersiong tidak marah, sebaliknya bertindak gila dengan menitahkan pengawal memancung dan membunuh musuh-musuh yang dipenjarakan.

Darah-darah banduan dikumpul sebelum dicampurkan ke dalam masakan untuk santapannya.

Apabila semua tahanan habis dibunuh, Raja Bersiong mula beralih kepada rakyat jelata. Bermula dari sinilah rakyat mula bangkit memberontak dengan diketuai seorang menteri sehingga memaksa raja zalim tersebut melarikan diri.

Benar atau sekadar mitos, namun banyak nama kampung di Kedah dikaitkan dengan kisah ini. Antaranya seperti Merbau Pulas, Kuala Pegang, Kuala Ketil, Kota Aur dan Baling.

Nama-nama di kampung ini diberi berdasarkan kisah ketika Raja Bersiong yang semakin ghairah dengan darah mengalami masalah sakit gigi disebabkan siong mula timbul di mulutnya.

Semua nama-nama kampung tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan tindakan raja berkenaan ketika mahu mencabut siongnya itu.

Selain Kedah, jangan tidak tahu di Perak ada sebuah kampung yang namanya ada kaitan dengan kisah raja kejam ini.

Nama kampung tersebut ialah Kampung Kota Raja Bersiong, terletak di dalam mukim Ijok, daerah Selama, Perak.

Bagaimana kampung ini mendapat nama? Adakah Raja Bersiong pernah memerintah di situ?

Osman Ahmad, 76, yang ditemui mengakui kewujudan nama kampung tersebut ada dikaitkan dengan kisah Raja Bersiong yang melarikan diri daripada buruan rakyat.

Difahamkan, semasa melarikan diri melalui Gerik, Perak, Raja Bersiong telah singgah di Ijok, Selama.

Pakcik Osman menunjukkan gua berteduh Raja Bersiong.

Semasa di kawasan tersebut, Raja Bersiong bersama pengawal yang masih setia telah memilih sebuah gua sebagai tempat berlindung. Rentetan daripada peristiwa tersebut, kampung itu diberi nama Kampung Kota Raja Bersiong.

Pun begitu, berapa lama Raja Bersiong tinggal di dalam gua tersebut, pakcik Osman tidak pasti.

Ini kerana katanya, kisah tersebut hanya diceritakan dari mulut ke mulut sejak turun temurun. Malah dia sendiri tidak pernah masuk ke dalam gua tersebut kerana laluan masuk sudah tertimbus.

“Gua itu masih ada. Dahulu katanya ada laluan masuk ke dalam gua tersebut. Dalamnya ada pinggan mangkuk, meja dan macam-macam lagi yang digunakan Raja Bersiong.

“Tapi sejak saya kecil lagi, laluan masuk sudah tertimbus. Saya sendiri tak pernah masuk. Hanya dengar cerita orang tua-tua sahaja,” cerita pakcik Osman. – MHE TV

Iklan