Bergabung atas nama Soul Sisters, tiga penyanyi hebat iaitu Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz bakal menggegarkan pentas Istana Budaya, Kuala Lumpur tahun hadapan.

Konsert anjuran Edd Razhe Entertainment (ERE) itu akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 April 2019.

Penganjurnya, Edd Razhe berkata, pemilihan tiga penghibur popular Malaysia ini berdasarkn reputasi serta kemampuan mereka menyanyi secara live termasuk mendendangkan lagu genre soul dan R&B.

“Ketiga-tiga artis ini memiliki vokal yang mantap dan sudah tiba masanya untuk mereka bergabung dalam satu konsert dan memperlihatkan kemampuan mereka yang luar biasa,” kata Edd Razhe dalam sidang media hari ini.

Konsert berdurasi dua jam itu akan mengetengahkan beberapa segmen menarik dan akan diiringi pemuzik profesional, Datuk Nasser Abu Kassim yang juga bertindak selaku penasihat konsert.

Sementara itu Datuk Syafinaz Selamat akan bertindak sebagai pengarah vokal bagi ketiga-tiga penyanyi tersebut.

Tiket mula dijual pada 8 November 2018 pada harga bermula RM 155 hingga RM 755. Tempahan boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com.

Kata Misha, dia menangis apabila ditawarkan oleh Edd Razhe dan menganggap ia bagaikan satu mimpi untuk berkongsi pentas dengan dua lagi penyanyi tersebut.

Kata Misha, walaupun berbeza personaliti, vokal dan genre, gabungan tersebut pastinya bakal menjadi satu konsert yang sangat istimewa.

Dalam pada itu, Noryn memberitahu yang dia cukup teruja dengan tawaran mengadakan konsert yang diterimanya sebelum menyertai Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Kata Noryn, dia merasakan kariernya telah berkubur lima tahun lepas, namun ia berlaku sebaliknya hingga perasaannya begitu tersentuh dengan tawaran tersebut.

Bagi Siti Sarah pula, dia menganggap konsert tersebut sebagai mengimbau kenangan silam dirinya dan Misha Omar yang sama-sama pernah mengadakan persembahan di luar negara dahulu.

– MHE TV

Iklan