Pada musim ini, tiada paparan logo penaja pada jersi baru pasukan The Bos Gaurus. Namun, pada baju itu akan ditulis mesej tertera perkataan ‘Save Water’ dan ‘Quit Smoking’, pada Sabtu ini.

Itu perkhabaran terbaru dimaklumkan oleh Menter Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), petik laporan Utusan Online hari ini.

Menurutnya, perkataan bahasa Inggeris dipilih ekoran pasukan negeri tersebut beraksi di peringkat antarabangsa pada musim ini.

Bagaimanapun, jelas Ahmad Faizal, penggunaan perkataan itu tidak bermakna mereka mengetepikan bahasa kebangsaan.

“Alhamdulillah, semua penaja kita menyumbang dengan penuh ikhlas demi menaik taraf sukan bola sepak negeri Perak. Saya telah bercakap dengan mereka mengenai perkara ini dan mereka bersetuju supaya nama-nama syarikat penaja tidak dipaparkan pada jersi.

“Sebaliknya kita letak ‘Save Water’ dan ‘Quit Smoking’ untuk kita tunjukkan pada orang ramai di seluruh Asia bahawa orang Perak membawa mesej yang baik. Orang Perak bersukan sambil berkasih sayang, kita cintakan bangsa kita,” jelasnya memberitahu jersi kali ini adalah yang terbaik pernah ditampilkan oleh Pafa.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Lembaga Air Perak (LAP) akan mengurangkan sumbangan RM8 juta ke RM2 juta kepada Pafa pada musim ini.

Pengurangan itu dibuat atas alasan menjaga duit rakyat kerana duit LAP itu milik rakyat Perak. Selain LAP, sumbangan lain turut diperoleh daripada pihak sektor swasta.

Sabtu nanti, majlis memperkenalkan pemain yang akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh. Orang ramai boleh mengunjungi mini karnival sukan yang akan diakan seawal pukul 8 pagi dan sebelah malam diikuti konsert oleh barisan artis terkenal negara.

Selain itu, para penyokong turut berpeluang melihat trofi Piala Malaysia yang dimenangi The Bos Gaurus pada musim lalu.-MHE TV

Sumber gambar: Utusan

Ruang komen