Setelah karier solonya dilihat tidak menjadi, pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim kesembilan (AF 9), Azri Abdullah kini tampil bersama sebuah kugiran yang dinamakan Paraxit.

Azri yang juga suami kepada Salma Asis itu menjelaskan, penubuhan Paraxit yang turut dianggotai dua lagi ahli iaitu Wal Aduka (gitaris) dan Nazrul (basis) baru sahaja mengeluarkan single berjudul Kalimat Cinta.

“Jujurnya, kemunculan bersama band Paraxit adalah satu percaturan terkini untuk meneruskan hayat seni saya setelah karier sebagai penyanyi solo tidak membuahkan hasil.

“Saya berharap, band ini yang mempertaruhkan genre rock mampu membuka lembaran baharu dalam kerjaya seni yang diceburi sekian lama.

“Ini kerana, sebelum menyertai AF 9, saya pernah menganggotai Breakfast Band dan ketika itu karier nyanyian saya lebih stabil,” ujarnya kepada MHE TV.

Tambah Azri, dia berharap agar pengalaman bersama kugiran lama dapat dijadikan rujukan untuknya menerajui Paraxit ke satu tahap yang boleh dibanggakan.

“Saya bukannya merajuk dengan industri apabila jenama solo saya tidak diterima baik oleh peminat.

“Tetapi, sedar akan persaingan yang ada, saya sendiri harus tampil dengan strategi tersendiri,” akuinya. – MHE TV

Iklan