Pelawak terkenal, Abam Bocey menerusi laman Instagram miliknya berkongsi berita gembira apabila isterinya selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2.30 petang tadi di Hospital Selayang.

Menurut Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Ridzuan, 31, ketika dihubungi berkata, anak sulung seberat 3.5 kilogram itu dilahirkan secara normal oleh isterinya, Siti Norhidayah Mohd. Ali, 28.

Abam memuat naik sekeping foto yang menampakkan sebahagian wajah anak sulungnya.

“Saya dah jadi ayah! Alhamdulillah, terima kasih atas doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak.

“Akhirnya penantian kami untuk melihat cahaya mata ini lahir ke dunia dimakbulkan oleh-Nya,” katanya ringkas.

Pada masa sama, Abam juga tidak lupa menyatakan penghargaannya kepada kakitangan Hospital Selayang yang membantu melancarkan proses kelahiran anaknya itu.

“Terima kasih sangat-sangat. Anda semua terbaik!” ucapnya bagi menghargai jasa mereka.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Selangor. – MHE TV

Iklan