“Saya masih sayangkan Mawar. Terima kasih kerana menjadi ibu terbaik kepada anak saya,” luah pelakon Fizo Omar.

Dalam masa yang sama, dia juga berterima kasih kepada bekas isteri yang dikahwini pada 10 November 2013 itu kerana pernah menjadi isteri terbaik buat dirinya.

“Saya percaya ini takdir Allah. Semua berlaku atas ketentuan-Nya.

“Bagi saya ini bukan pengakhiran tapi satu permulaan. Sebagai pasangan ibu bapa yang berpisah, ini adalah satu amanah untuk kami mendidik dan membesarkan anak kami,” ujar pelakon ini dengan tenang.

Fizo ditemui selepas pasangan selebriti ini bercerai talak satu sebentar tadi di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi.

Fizo menceraikan Mawar dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi pagi ini.

Sementara itu, Mawar Karim mengaku sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama enam tahun itu.

“Sudah tentu semua wanita sayangkan rumah tangga. Saya cuba selamatkan perkahwinan ini, bukannya tidak mencuba.

“Selama enam tahun tempoh perkahwinan ini, saya dan Fizo cuba tapi saya reda mungkin sampai di sini sahaja.

“Iyalah, saya korbankan seluruh kebahagiaan kasih sayang saya untuk kebahagiaan Fizo sekeluarga,” kata Mawar dengan nada tenang.

Mawar tenang ketika ditemu bual pihak media.

Bagaimanapun kata Mawar, dia sesekali tidak akan memutuskan hubungan antara Fizo dan anak mereka, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

“Pasal anak, saya tidak akan putuskan hubungan bapa dan anak sebab Maryam perlukan kasih sayang seorang bapa,” jelas Mawar yang belum terfikir untuk kembali bersama atau tidak.

Perkahwinan Fizo dan Mawar hanya mampu bertahan selama enam tahun sahaja.

Dalam prosiding perceraian yang berlangsung, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan talak satu terhadap Mawar Abdul Karim, 30, pada pukul 10.55 pagi ini.

Lafaz dibuat Fizo di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan dan mahkamah memerintahkan Mawar untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini. – MHE TV

Foto: Amir Khalid

Iklan