Aizat kehilangan ayahnya pada 9 Januari lalu.

Hampir lima bulan pemergian ayah tersayang,  penyanyi dan komposer Aizat Amdan berkongsi apa yang dilaluinya dalam sebuah lagu berjudul Angin Lalu.

Merupakan lagu ciptaan dirinya dan Mel Ramlan, kongsi Aizat, dia yakin apa yang dilaluinya turut dirasai mereka yang pernah kehilangan orang tersayang.

“Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada Disember lalu tetapi keadaan ayah saya tidak mengizinkan ketika itu.

“Sebelum memilih tajuk Angin Lalu, sebenarnya tajuk lagu ini adalah Sepi.

“Apa yang saya boleh kata mengenai lagu ini, Angin Lalu bercerita mengenai kehilangan seseorang. Bukan mengenai kisah untuk melupakan tetapi bagaimana kita membawa apa yang berlaku ke masa depan.

“Termasuk dugaan dan memori yang ada kerana kita tidak mungkin akan melupakanya,” katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran filem pendek Angin Lalu di Damansara.

Sementara itu Aizat, 32, turut berkongsi permergian ayahnya, Datuk Amdan Mat Din yang meninggal akibat angin ahmar pada 9 Januari lalu membuatkan dia sunyi.

“Tidak dinafikan saya sunyi, tetapi kehidupan harus diteruskan.

“Buat masa ini saya banyak memberi fokus kepada kerjaya sahaja,” katanya ringkas.

Bercakap mengenai filem pendek untuk lagu baharunya ini, kongsi Aizat apa yang ingin dilakukannya adalah sebagai gimik sebelum melancarkan lagu itu pada 17 Mei nanti.

“Memang ini gimik, sebab dalam waktu sekarang kita perlu lebih kreatif. Jadi saya pilih untuk menerbitkan sebuah filem pendek.

“Saya tidak berlakon, sekadar membuat kemunculan istimewa sahaja.

“Nampak berbeza sedikit untuk lancarkan lagu begini dalam bulan puasa. Selalunya lagu- lagu raya, jadi saya mahu buat kelainan,” katanya. – MHE TV

Iklan