Lebih dikenali sebagai pelakon namun Eyka Farhana, 24, mengakui minat menyanyi sememangnya sudah ada dalam dirinya sejak kecil lagi. Bakal keluar dengan single berjudul Laki-Laki, ia disifatkan cabang baharu Eyka sebagai anak seni.

Bercakap kepada MHE TV, pelakon yang mula terbabit dalam dunia lakonan sejak berusia 16 tahun ini teruja kerana diberi ruang dan peluang untuk merakamkan single tersebut. Lagu Laki-Laki ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna bakal menentukan hala tuju Eyka dalam bidang seni suara.

“Bila menjadi anak seni, bidang lakonan, nyanyian dan pengacaraan dekat dengan jiwa saya. Ramai tak tahu saya sangat suka menyanyi dan mengacara tetapi rezeki sebagai pelakon lebih dulu datang.

“Sebelum ini mungkin hanya menyanyi di bilik air dan pusat karaoke sahaja tetapi baru kini rezeki bergelar penyanyi tiba. Bila ada peluang macam ni, semestinya saya akan berusaha untuk buat yang terbaik,” jelasnya yang akan melancarkan single tersebut tidak lama lagi.

Ditebak adakah dirinya sekadar mengikut trend di mana ramai pelakon menjadi penyanyi, jawab Eyka ia berlaku secara kebetulan. Malah dia turut menjadikan rakan-rakan pelakon yang mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian sebagai inspirasi.

Tidak mahu mensiakan peluang yang diberi, Eyka percaya akan bakat nyanyian yang ada dalam dirinya.

Belum menyertai kelas vokal secara rutin, namun pelakon drama Juvana ini mendapatkan tunjuk ajar daripada komposernya untuk memahami dan menyanyikan lagu tersebut dengan baik.

“Laki-Laki sebuah lagu yang catchy dan sangat sesuai dengan vokal saya. Omar K adalah antara komposer yang saya teringin sangat untuk bekerja dan bila dapat peluang ini, saya gembira dan bersyukur.

“Pengalaman ketika merakamkan lagu ini pun menyeronokkan. Walaupun gementar sebab pertama kali masuk studio, tapi Omar K dan Ikhwan banyak membantu dan ajar saya menyanyi dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang mengakui banyak lagi ilmu yang perlu digali untuk menjadi penyanyi yang bagus.

Dalam perkembangan lain, Eyka baru sahaja tamat penggambaran telemovie berjudul Kerana untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Dalam telemovie ini saya pegang watak gadis psiko, karakter yang saya idamkan selama dalam industri. Sangat berat, menarik dan mencabar kerana bawa lapan watak dalam satu masa.

“Sekarang pula saya tengah shoot telemovie Amalina bersama penyanyi Santesh, Johan Raja Lawak, Ozlyn dan Roy Azman. Sebuah drama komedi dan saya sangat enjoy berlakon dengan team ini kerana dapat bekerja dengan ramai pelakon berpengalaman,” kongsi Eyka. – MHE TV

Iklan