Sebentar tadi, satu kenyataan rasmi daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin berhubung penyebaran dalam sebuah video lucah yang tular sejak semalam.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya sebagai individu dalam rakaman berkenaan dan menyifatkannya ia satu tuduhan jahat dan kejam.

Tegas Timbalan Presiden PKR itu menganggap ia satu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” ujarnya lagi.

Susulan itu, Mohamed Azmin telah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Beliau bertekad akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat terbabit.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini,” katanya.

Pagi tadi, video pemuda kacak yang memperkenalkan diri sebagai Haziq Aziz mula tular dalam laman sosial.

Ini kerana lelaki tersebut berani mati mengaku beliau merupakan individu bersama “MENTERI” dalam sebuah video lucah dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.-MHE TV

Iklan