Aktres Scarlett Johansson baru-baru ini meluahkan rasa kesal terhadap sekumpulan paparazi yang didakwa mengekori kenderaannya.

Bintang Black Widow itu menyedari keretanya diekori lima buah kereta lain ketika dia dalam perjalanan pulang dari program Jimmy Kimmel untuk mempromosikan filem Avengers: Endgame.

Disebabkan takut, Scarlett mengambil keputusan bersembunyi di balai polis selain sebagai cara mengelak daripada serbuan paparazi tersebut.

Pihak polis Los Angeles mengesahkan kumpulan paparazi itu mengekori kereta Scarlett dengan cara yang berbahaya dan boleh mengancam keselamatan.

Marah privasinya diganggu, pelakon Captain America: Civil War itu akhirnya membuka mulut sekali gus mengecam para paparazi. 

Bahkan bekas isteri Ryan Reynolds itu juga membandingkan insiden tragis yang menimpa Puteri Diana pada tahun 1997.

“Para paparazi secara berterusan berusaha mengekori dan menyusahkan orang yang mereka ekori. 

“Selepas kematian tragis Puteri Diana, tidak pernah ada undang-undang untuk melindungi individu yang menjadi mangsa paparazi. 

“Kebanyakan paparazi mempunyai rekod jenayah lampau mereka dan akan melakukannya lagi demi merakamkan foto,” katanya.

Wanita berusia 34 tahun itu turut mendedahkan paparazi yang mengekorinya telah melanggar lampu isyarat merah. 

“Saya diekori lima buah kereta dipenuhi lelaki yang melanggar lampu merah dan membahayakan pemandu lain serta para pejalan kaki. Mereka mengekori saya demi mengetahui tempat tinggal saya,” ujarnya. 

Dia juga mendakwa sikap para paparazi tersebut harus diambil tindakan undang-undang agar tidak membahayakan nyawa orang lain.

“Hukuman untuk para paparazi perlu digubal. Semua ini hanya permainan, menunggu sampai seseorang terluka atau terbunuh seperti Puteri Diana,” tuturnya. – MHE TV

Ruang komen
Iklan