Isu menggunakan kabel atau orang dalam untuk mendapatkan pekerjaan dalam sesebuah organisasi, sering kali ditimbulkan apabila ada yang tidak berpuas hati dengan individu tertentu.

Dan apabila pembaca berita, Hawa Rizwana dan juga anak Allahyarham Aziz Desa terpalit dengan isu kabel dalam pekerjaan, ramai yang memberikan reaksi pelbagai.

Menurut segelintir netizen, Hawa dikatakan menggunakan pengaruh bapanya, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman untuk mendapat pekerjaan.

Menganggap bapanya sebagai mentor dalam memperbaiki bacaan berita

Buat mereka yang tidak mengetahui, bapa Hawa merupakan hos Selamat Pagi Malaysia pada era 90-an.

Tidak mahu berdiam diri sahaja dan tampil menjelaskan keadaan sebenar, Hawa memuat naik entri berkenaan isu tersebut menerusi akaun Twitter miliknya.

“Sedih pula bila orang fitnah ayah. Ayah saya. Kita tahu kita tak patut ambil kisah tentang hal ini kerana bukannya betul pun.

“Tanyalah pada pensyarah kita yang hantar nama dan kawan-kawan lain untuk latihan praktikal dekat TV3, tanyalah pihak yang melamar kita untuk latihan penyampaian berita.

Tidak pernah menggunakan nama bapa untuk berada di kedudukan sekarang ini

“Tanyalah, adakah ayah saya bertanya kepada sesiapa untuk memberikan saya kerjaya sebagai wartawan dan pembaca berita?

“Jangan sakiti ayah saya, jangan fitnah dia. Saya mencuba yang terbaik untuk membuatkan dirinya bangga dengan saya dan tak menggunakan dia. Dia ayah saya,” tulis Hawa dalam laman Twitter.

Hawa yang merupakan graduan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan), kini sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. –MHE TV

Iklan