Grab biasanya menawarkan perkhidmatan membawa makanan dan penumpang. Tetapi di Indonesia, lain pula kisahnya apabila seorang lelaki yang bekerja sebagai Ojek Online (perkhidmatan grab motosikal) menjadi perantara antara anak dan ibu melepaskan rindu.

Kisah itu di kongsi Dwiky Januardi dalam Instagram miliknya pada Selasa lalu. Katanya, pada hari itu dia diminta pergi ke lokasi berbeza dari yang tertulis di aplikasi.

Belum sempat membalas, pelanggan bernama Aderra kemudian mengatakan dia mahu berhubung dengan ibunya tetapi ibunya tidak mempunyai telefon.

Dari tugas menjemput penumpang, pelanggan tersebut meminta Dwiky meminjamkan telefon miliknya supaya Aderra boleh bercakap dengan ibunya.

“Jadi, ceritanya penumpang minta tolong cari alamat rumah yang dituju. Dia mahu telefon orang tuanya. Dan ibunya tidak punya telefon, jadi minta tolong saya buat panggilan ke ibunya,” jelas Dwiky melalui akaun Instagram @dramaojol.id.

Tanpa berfikir panjang, Dwiky segera menunaikan permintaan Aderra. Dia meminta maklumat lebih lengkap supaya memudahkan dia mencari rumah orang tua pelanggan berkenaan.

Sebaik sampai di tempat yang dituju, Dwiky terus menelefon Aderra sebelum dua beranak tersebut berbual.

Kongsi Dwiky lagi, dua beranak itu terpisah cukup jauh. Aderra tinggal di Bogor sedangkan ibundanya tinggal di Jakarta.

Katanya lagi, semasa dua beranak itu berbual, dia terdengar si anak memohon maaf kepada ibunya kerana tidak dapat pulang ke kampung kerana terlalu sibuk dengan pekerjaannya.

Sebaik mendengar ungkapan anak, si ibu terus menangis teresak-esak kerana gembira sekurang-kurangnya si anak tidak melupakannya.

Pun begitu, Aderra bertuah kerana berkat kebaikan Dwiky, dia dapat mendengar suara selain bertanya khabar ibunya yang telah lama tak bertemu.

Perkongsian pengalaman Dwiky itu kemudiannya tular sehingga menjadi perbincangan warganet.

Salah seorang pengguna Instagram dengan akaun @tasyaaa_mua menulis komen “Ya Allah… selain hantar itu ini, ternyata gojek juga bisa antar rindu. Salute sangat sama anak yang masih berusaha menghubungi orang tuanya kerana sekarang banyak yang lupa orang tuanya.” – MHE TV

Iklan