Perumpamaan `sudah diberi betis mahu paha’ memang padan dengan situasi yang sedang dihadapi oleh penyanyi Nursyella Kamaruddin waktu ini.

Gara-gara tidak memenuhi permintaan individu tertentu yang mahu meminjam sejumlah wang daripadanya, Nursyella akhirnya difitnah.

Untuk sekian kalinya, Syella Kamaruddin enggan bertoleransi dengan permintaan individu berkenaan yang menganggap dirinya sebagai ‘bank’ setiap kali berdepan dengan masalah kewangan.

Tidak tahan dengan situasi yang sama terjadi berulang kali, wanita ini nekad untuk tidak melayan sebarang permintaan dengan tujuan sebegitu.

“Bertahun-tahun hidup kena hadap benda yang sama. Rasanya bagaimana perasaan kalian. Nanti kata tak tolong, cakap kita menyombong pula.

“Tapi apabila kita tak bantu, dikatanya kita macam-macam. Selama ini kita bagi pinjam wang, layan semua keinginan dia. Tapi apabila berhenti (tak bagi wang), kita difitnah dia pula,” katanya kepada MHE TV.

Penyanyi lagu Menangis Dalam Hujan ini turut meluahkan perasaan kurang senangnya menerusi ruangan dalam Instagram. Dia kesal apabila individu berkenaan menabur fitnah konon-kononnya dia seorang yang sombong dan bongkak.

Hakikatnya, tujuan sebenar pendedahan yang dibuat itu untuk mahu mengajar pihak berkenaan untuk menjadi ‘orang’ yang berguna dan bukannya biawak hidup.

Ada beberapa individu yang dikenali kerap meminjam wang daripadanya hingga menjadikan perbuatan tersebut sebagai satu tabiat. Dia menghulurkan bantuan wang tersebut atas dasar kasihan walaupun berat pada mulanya. – MHE TV

Iklan