Sesungguhnya2019 yang dirakamkan kembali oleh Alif Satar dan Raihan kini trending di YouTube.

Kemunculan lagu Sesunggguhnya2019 nyanyian Alif Satar dan Raihan mencetus fenomena baharu dalam kalangan peminat muzik tanah air sehingga berjaya meraih hampir 1.2 juta tontonan di saluran YouTube dalam masa tiga hari.

Sesungguhnya adalah lagu nyanyian asal Raihan yang dirakam pada tahun 1997 dan kini tampil dengan nafas baharu untuk disesuaikan dengan generasi hari ini.

Kolaborasi Alif Satar dan Raihan yang dianggotai
Abu Bakar Mohd Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim menyanyikan semula lagu ini dipuji ramai kerana berjaya mengembalikan kegemilangan lagu tersebut.

Alif sendiri mengakui, peluang menyanyikan semula lagu Sesungguhnya daripada idolanya sendiri adalah sesuatu yang cukup mengujakan.

“Lagu ini sebuah lagu yang sungguh hebat dan indah. Berpeluang merakamkan kembali lagu Sesungguhnya adalah satu penghormatan buat saya selaku peminat Raihan sejak kecil.

“Daripada projek suka-suka, kami terus setuju untuk rakam semula lagu yang dah berusia 22 tahun ini dan tak sangka ia kini menjadi trending.

“Terima kasih untuk 1.2 juta tontonan di YouTube. Alhamdulillah, impian saya berkolaborasi dengan Raihan menjadi kenyataan,” kongsi Alif ketika hadir sebagai tetamu jemputan bersama Raihan dalam program Melodi hari ini.

Akhirnya impian Alif untuk berkolaborasi dengan Raihan menjadi kenyataan sementelah kumpulan nasyid popular itu sudah diminatinya sejak kecil.

Penyanyi, pelakon dan hos popular ini juga turut berterima kasih kepada semua peminat yang telah membuatkan lagu Sesungguhnya2019 olahan muzik oleh The Locos ini kembali menjadi siulan ramai.

Dalam perkembangan lain, Alif bakal mengadakan satu showcase amal bersama Komited Malaysia dengan penampilan istimewa Raihan pada 17 Mei ini bertempat di Bora Ombak, Marina Putrajaya pada jam 6 petang.- MHE TV

Iklan