Ruangan kartun Hello Boss tidak asing lagi dalam akhbar Utusan Malaysia. Siri kartun ini mempunyai peminatnya tersendiri.

Hello Boss bermula sejak tahun 1991, bermaksud sudah 28 tahun ia menghiburkan pembacanya. 

Namun, 19 Februari kartunisnya, Dee atau nama sebenarnya Zaidi Md. Yusop telah pergi selamanya, mengadap Ilahi pada usia 53 tahun.

Allahyarham Dee, pelukis di sebalik siri kartun popular, ‘Hello Boss’ meninggal dunia pada 19 Februari.

Hello Boss membawakan kisahnya sendiri dengan sindiran lucu tetapi memberi motivasi. Kadang kala, kisah dimainkan agak padu dan pedas kepada mereka yang ‘terkena’.

Kisahnya hanya berkisar ragam sekitar pejabat. Ada bos, budak pejabat, tukang cuci dan eksekutif bertali leher besar. 

Tak kurang juga ada tukang cucuk, si lurus bendul, si gadis cantik selain pelbagai lagi ragam yang jadi bahan lawak sepanjang masa.

Dalam situasi inilah berdirinya watak-watak utama Hello Boss, iaitu Rosli dan Bos, serta Liza dan rakan-rakan sepejabat yang lain. 

Pelukisnya pernah mendedahkan pada majalah Mastika bagaimana secara tidak sengaja dia terlibat dengan kartun ini.

Semuanya berlaku secara kebetulan semasa dia bekerja di bahagian Pentadbiran Utusan Printcorp Sdn. Bhd, sebuah anak syarikat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Entah bagaimana tiba-tiba dia mendapat arahan daripada Penolong Ketua Reka Bentuk Utusan Melayu, Shukur Lin yang memintanya melukis kartun untuk diisi dalam akhbar tersebut.

Pening kepala Zaidi selepas mendapat arahan tersebut. Dia bukanlah seorang pelukis walaupun punyai bakat melukis. Kusut Zaidi hari itu memikirkan kartun sesuai yang akan dipersembahkan. 

Sedang termenung, tiba-tiba dia disapa trio jurujual Utusan Printcorp.

“Hello Boss, selamat pagi… kah kah kah!” tegur mereka sambil ketawa.

Geng jurujual itu memang kuat mengusik. Mereka akan menyapa sesiapa sahaja dengan panggilan ‘Hello Boss…’ setiap kali terserempak. Tak kisahlah mat despatch, tukang cuci ke, semuanya disapa dengan panggilan sama.

Kemudian, dia terserempak pula majikannya bersama pegawai akaun berjalan ke tandas. Bos lelaki itu agak rendah orangnya, berambut lurus dan lebat serta bermisai tebal. 

Manakala pegawai akaun itu pula kepalanya botak di tengah kepala dan hanya berambut di bahagian tepi, tapi agak tinggi orangnya.

Ting! Idea datang. Mereka semua memberi inspirasi kepadanya untuk melahirkan watak-watak jelmaan dalam lukisan yang kemudian dinamakan sebagai ‘Hello Boss’.

Antara koleksi kartun Hello Boss yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia.

Begitu juga dengan watak Rosli. Nama Rosli dipilih apabila ramai rakan sekerja sepejabat bernama Rosli.

Zaidi turut berkongsi sewaktu watak Liza iaitu si wanita penggoda yang seksi diwujudkan, pelbagai kritikan dan kecaman diterimanya.

Ada yang mengatakan watak Liza itu tak ubah seperti rakan sepejabat mereka. Ada juga yang naik hantu dengan watak Liza yang gatal itu.

Hinggalah suatu hari Dee mendapat panggilan telefon daripada seorang pembaca kartunnya. 

“Hello, ini kartunis Dee? Saya ada pandangan sedikit. Saya rasa tak eloklah Dee gambarkan Liza tu sebagai mengada-ngada, asyik merengek macam wanita manja,” kata si pemanggil. 

Belum sempat Dee menjawab terus dia menyambung. “Apa kata kalau Dee keraskan sedikit watak Liza tu.  Sebagai wanita, sepatutnya Dee kenalah tekankan yang kami ni iron lady, boleh buat apa sahaja! Barulah betul!” Bukan main lagi celoteh pemanggil di talian itu. 

Pada awalnya, Dee sangkakan panggilan itu hanyalah daripada pembaca biasa. Rupa-rupanya pemanggil tersebut ialah Datuk Maznah, pengasas Securiforce yang mendapat jolokan ‘Iron Lady’ kerana kejayaannya merangkul pelbagai anugerah.

Sungguh dia tak sangka, ruangan kartunnya turut mencuri pandangan tokoh wanita seperti Allahyarhamah Datuk Maznah.

Pernah ditanya, sampai bila dia akan melukis untuk Hello Boss?

“Selagi diberikan peluang dan ada permintaan, saya akan tetap teruskan legasi Hello Boss ini,” jawabnya.

Namun, hari ini semuanya telah berakhir. Tiada lagi usikan dan sindirannya dalam Utusan Malaysia. 

Dee telah pergi buat selamanya ke negeri abadi. Pun begitu, karya yang ditinggalkannya akan terus dikenang. 

Perjalanan hidup Zaidi Md. Yusop di atas dunia yang fana ini sudah bertemu penamatnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atah roh Allahyarham, Al-Fatihah.- MHE TV 

Iklan