KEMASKINI- Rakan kepada pelumba Cub Prix yang maut selepas terbabit dalam kemalangan pada perlumbaan petang semalam menyatakan, arwah Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, sebelum ini kerap kali menyebut perkataan “Ini last race aku”.

Menurut Nurhan Md. Nayan, 22, dia sempat bertemu arwah ketika menghadiri majlis kenduri minggu lalu. Di hadapan rakan-rakan lain, Mohd. Hafiz berulang kali memberitahu bahawa perlumbaan yang disertainya semalam sebagai perlumbaannya yang terakhir.

Jelas beliau, arwah turut meluahkan hasrat bahawa dia akan melakukan yang terbaik serta mahu mendapatkan kedudukan ketiga pada perlumbaan itu bagi kategori keseluruhan CP150.

“Banyak kali dia sebut yang ini last race dia. Dia nak buat yang terbaik dan tidak sangka ini betul-betul perlumbaan terakhir dia. Kami terkejut sangat dan tidak sangka dia dah tiada,” jelasnya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Difahamkan, pada 27 Januari depan arwah Mohd. Hafiz bakal mengerjakan ibadat umrah bersama keluarganya.

Menurut kakak sulungnya, Nor Shaziela, 30, adik ketiganya itu telah berhajat untuk membawa ibu dan bapanya menunaikan ibadah umrah bersama dengannya. Dia telah memaklumkan hasratnya kepada semua ahli keluarga lain.

Dia yang juga turut serta menunaikan ibadah umrah berkata, segala persiapan sudah disiapkan tapi tidak sangka hajat adiknya itu tidak kesampaian.

Tambah Nor Shaziela, dia ada menonton perlumbaan yang disertai adiknya dan menyaksikan insiden tersebut berlaku. Pada mulanya, dia menganggap arwah tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Malah, ibunya ada memaklumkan adiknya itu selamat.

Namun, dia dikejutkan dengan berita kematian adiknya itu selepas menerima panggilan telefon kali kedua daripada ibunya.

Jenazah Mohd. Hafiz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang hari ini.- MHE TV

Sumber gambar: Utusan

Iklan