Penyanyi Linda Rafar menjelaskan kes berhubung saman fitnah terhadap 100 orang warganet telah pun selesai. Dalam masa sama perbicaraan kes fitnah antara dirinya dengan seorang jururawat juga tidak diteruskan kerana semua sudah selesai di luar mahkamah.

“Perbicaraan kes tidak diteruskan selepas peguam saya mencadangkan untuk selesaikan secara baik antara kedua-dua pihak. Saya anggap semuanya sudah selesai.

“Lebih baik saya maafkan semua warganet yang melemparkan kata-kata fitnah kepada saya sebelum ini. Namun jika ada yang masih cuba bercakap tidak elok, saya tiada pilihan selain menebus maruah diri.

“Saya sudah buat yang terbaik. Bagaimanapun saya tahu ini tidak boleh memuaskan hati semua orang. Apa yang penting adalah antara saya dan Allah,” ujar Linda.

Januari lalu, Linda membuat satu sidang media berikutan isu sebilangan warganet yang melemparkan kata-kata fitnah terhadap dirinya. Isu itu timbul selepas Linda memuat naik status di Instagram mengenai ketidakpuasan hati terhadap sikap seorang petugas sebuah hospital yang memberi layanan kurang baik ketika merawat arwah ibunya, Rasimah Abdul Rahman.

Sementara itu jururawat terlibat pula menfailkan saman terhadap Linda kerana menyangka penyanyi itu mengugut dirinya dalam satu status di laman sosial. – MHE TV

Iklan