Rentetan pelbagai tuduhan melampau yang dilemparkan oleh Lufya Omar, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, tampil membuat laporan polis terhadap bekas isterinya itu.

Bapa kepada seorang cahaya mata, Laana Haura yang berusia dua tahun itu turut menegaskan, kes berkenaan masih lagi dalam siasatan pihak berwajib.

“Saya menafikan semua tuduhan yang dibuatnya. Malah saya juga telah membuat laporan polis yang disertakan dengan butiran bukti kukuh pada minggu lalu.

“Kes tersebut masih disiasat dan biarlah pihak berkuasa melakukan tugas mereka,” jelasnya.

Menyifatkan tuduhan yang dibuat agak keterlaluan, Dr. Che Hafiz merasakan dirinya perlu membuat penjelasan demi menjaga nama baik pelbagai pihak.

“Nama baik saya sebagai penjawat awam perlu dijaga, begitu juga maruah keluarga saya yang tidak bersalah.

“Kita tunggu sahaja keputusan pihak polis dan saya seboleh-bolehnya mahu selesaikan secara baik, lebih rasional dan mengikut saluran yang betul.

“Jika perlu, saya akan bersedia untuk ke tengah. Saya turut berharap agar warganet tidak memburukkan lagi keadaan dan doakan yang baik-baik saja,” pintanya.

Terdahulu, Dr. Che Hafiz mendedahkan dia sudah menyatakan niat untuk menceraikan isterinya itu menerusi aplikasi Whatsapp atas permintaan Lufya sendiri.

Bagaimanapun, Lufya mendakwa dirinya tidak menerima sebarang mesej lafaz cerai daripada suaminya itu.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 lalu.

Habis

Iklan