Seorang bapa, Norzram Zainuddin, terkejut selepas mendapati wujud sehelai rambut pada bahagian lapisan dalam kulit tumit kaki kanan anak perempuannya, Nurul Syafikah.

Difahamkan, beliau menyedari kejadian aneh itu malam kelmarin selepas melihat gelagat anaknya yang kerap menggaru di bahagian kaki.

“Masa hendak tidur malam kelmarin saya lihat anak perempuan kerap menggaru kakinya.

“Pada awalnya, saya ingatkan kakinya luka namun selepas diperiksa, adanya sehelai rambut.

“Pada masa itu, ada kesan hujung rambut terkeluar dari bahagian tumit kakinya.

“Apa lagi, saya cuba tarik untuk mengeluarkan rambut itu tapi malangnya ia terputus dan selebihnya tidak berjaya dikeluarkan,” jelas beliau ketika dihubungi wartawan MHE TV.

Beliau yang menetap di kampung Kankar Tebrau, Johor Bahru bertindak merujuk perkara itu ke hospital berdekatan.

Jelas Norzram, kes tersebut mendapat perhatian beberapa orang pakar perubatan yang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas anak perempuannya.

“Selepas tidak berjaya mengeluarkan rambut, saya membawa anak ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Saya seolah tidak percaya apabila beberapa orang pakar datang memeriksa Nurul Syafikah.

“Peliknya, salah seorang daripada pakar mengesahkan ia adalah sejenis cacing manakala seorang lagi memberitahu ia sehelai rambut,”ujarnya.

Susulan pemeriksaan itu, pakar perubatan cuba mengeluarkan namun tidak berhasil dan ia putus sebaik sahaja ditarik.

Bagaimanapun, kumpulan doktor pakar itu telah mengambil sampel rambut untuk proses kajian lanjut.

Tambah beliau lagi, seumur hidupnya ini kali pertama dia melihat sehelai rambut keluar dari tumit kaki.

“Saya akui agak terkejut sebaik melihat rambut keluar dari kaki anak perempuan saya.

“Ini kali pertama kejadian aneh seumpama ini,” katanya yang ingin mengetahui lanjut punca rambut keluar dari tumit kaki anaknya.- MHE TV

Iklan