Allahyarham Zaibo hanyalah ayah tiri kepada mereka. Tetapi, kehilangan pelakon itu, sehingga ke hari ini masih lagi ditangisi oleh insan-insan kecil yang menjadi kesayangannya semasa hidup.  Anak-anak kecil ini adalah tempat Allahyarham menumpang kasih pada ketika hidupnya.

Balu arwah Zaibo, Siti Hawa Sawal, 52  memberitahu bahawa dia sendiri tidak berupaya untuk menenangkan perasaan anak-anaknya yang amat rapat dengan arwah ketika hidupnya.

“ Hari ini, sudah hari kelapan pemergian arwah. Anak-anak masih lagi menangis. Mereka menangis sampai tidur di katil tempat di mana arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahuakbar, Kak Hawa sebagai ibu sangat sebak!” cerita Siti Hawa berkongsi perasaan sedihnya dengan MHE TV.

Malah, tiga anak lelaki kecilnya, Irffan, 10 tahun, Fahrin (11) dan Haziq (13),  setiap hari akan pergi menziarah ke kubur arwah Zaibo, setiap pagi dalam perjalanan pergi ke sekolah.

“Mereka cakap rindu, rindu sangat-sangat kepada arwah. Saya harap kerinduan mereka tidak melarat sampai membawa kepada demam atau sakit. Sememangnya arwah sangat rapat dengan anak-anak, walaupun hanya ayah tiri.

“Anak-anak cakap, mereka rindu hendak peluk dan naik motor dengan ayah dan makan-makan semeja dengan ayah macam dulu,” katanya.

Pelawak dan pelakon pemilik nama sebenar Zainal Ariffin Abdul Hamid itu meninggal dunia pada 14 November lalu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit, Batu Pahat, Johor selepas solat Isyak.

Perkahwinan yang dibina semenjak lapan tahun lalu dengan Siti Hawa tidak memberikan mereka zuriat. Bagaimanapun Zaibo sempat menumpang kasih dengan sembilan anak Siti Hawa hasil perkahwinan terdahulu yang berusia antara 10 hingga 33 tahun.

Iklan