KEMASKINI : Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal dari parti Warisan kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Musa sebelum ini memfailkan saman antaranya bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah mengisytiharkan beliau sebagai ketua menteri yang sah.

Beliau turut menamakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie sebagai defendan, pada mulanya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri dalam satu upacara yang ditangguhkan sehari selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat Barisan Nasional kemudiannya berpaling tadah, menyebabkan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memihak kepada gabungan Warisan-Pakatan Harapan.

Juhar kemudiannya membenarkan Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, tetapi Musa enggan melepaskan jawatan itu dengan alasan pelantikan Shafie tidak berperlembagaan.

Musa diwakili peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad dan S Vanugopal.

Shafie pula diwakili Datuk Douglas Lind, manakala Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Juhar.

Musa pada mulanya memfailkan writ saman terhadap Shafie pada 17 Mei lalu, sebelum menariknya balik.

Jun lalu, beliau memfailkan saman pemula, di mana perbicaraan tidak perlu diadakan, tetapi peguam akan berhujah melalui afidavit bagi memohon mahkamah mengeluarkan perintah beliau ialah ketua menteri Sabah yang sah.

Musa menerusi saman hari ini turut memohon mahkamah mengisytiharkan semua tindakan Shafie sebagai ketua menteri tidak sah dan terbatal.- MHE TV

Sumber gambar: Utusan

Iklan