Berita misteri kehilangan Nora Anne Quoirin yang akhirnya terjawab selepas satu mayat wanita ditemui di hutan di Pantai, Seremban, mendapat perhatian masyarakat sejak semalam.

Ramai yang menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut susulan penemuan mayat remaja berasal dari Ireland itu pada hari ke-10 kehilangannya dari sebuah resort.

Bukan hanya orang ramai malah kalangan artis juga turut menzahirkan perasaan yang sama termasuklah pelakon Sharnaaz Ahmad.

Sharnaaz berkata, sekiranya kematian gadis berusia 15 tahun itu berpunca akibat perbuatan jahat mana-mana individu, dia mahu pelaku terbabit diseksa sebelum dihukum mati.

“Pelaku wajib mati dan diseksa sebelum mati.. kerajaan jangan sesekali sebut pasal hapuskan hukuman mati.. Mustahil!,” luah Sharnaaz menerusi laman sosial Instagram miliknya.

Dia juga berharap seluruh ahli keluarga Nora tabah menerima beri kematian remaja itu.

Walaupun pihak berkuasa belum lagi mengesahkan punca kematian remaja itu namun ‘kata-kata amaran’ Sharnaaz itu mendapat sokongan kalangan pengikutnya yang bersetuju agar hukuman berat dijatuhkan terhadap si pelaku.

Pun begitu, ada kalangan warganet yang memberi pandangan, orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi kerana setakat ini proses bedah siasat masih belum dijalankan.

Sementara itu, proses bedah siasat ke atas mayat Nora akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Kuala Lumpur pada hari ini.

Terdahulu, remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk percutian dua minggu di negara ini.

Dia dilaporkan hilang pada pukul 8 pagi pada 4 Ogos lalu.

Selepas 10 hari menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), polis menemui mayat wanita berkulit putih, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai, pada tengahari semalam.

Malam tadi, polis mengesahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga gadis itu membuat pengecaman. – MHE TV

Iklan