Semakin popular, tetapi itu bukan alasan untuk pelawak Shuk Sahar meminggirkan sebarang pertandingan berkonsepkan humor.

Menolak cara yang diamalkan oleh beberapa pelawak popular yang ‘bersara’ daripada menyertai pertandingan, Shuk pula menganggap dia perlu kekal bertanding kerana itulah peluangnya untuk menghiburkan peminat.

“Sebenarnya pertandingan sebegini ada baik dan buruk. Bagusnya, jika berjaya mara ke peringkat tertinggi atau final, maka nama kita akan lebih dikenali termasuk menikmati ganjaran hadiah yang ditawarkan.

“Namun kalau tersingkir awal, tak kiralah popular mana pun pelawak itu sebelum ini, sedikit sebanyak tetap akan mencalarkan reputasi sedia ada,” jelas Shuk atau Mohammad Shukri Mohamed Sahar.

Tidak gentar bertanding, jelas Shuk, keputusan untuk memasuki program sebegitu tidak dipengaruhi oleh sesiapa mahupun stesen televisyen.

“Disebabkan pentas lawak adalah tapak pertama saya melangkah masuk ke dalam dunia seni ini, jadi saya tidak mahu tinggalkannya walaupun sudah sampai tahap ini.

“Jika kena pada masa dan ada pasukan yang baik, saya akan masuk bertanding dengan niat untuk menghiburkan peminat,” luah Shuk.

Shuk ketika bersama ahli SYJ, Yasin dan Jihan.

Meluahkan rasa rindu untuk beraksi diatas pentas dengan Yasin dan Jihan, Shuk akur apabila sukar untuk menyatukan semula barisan ahli SYJ itu..

“Kemungkinan Maharajalawak Mega ada tahun ni tapi saya tidak pasti akan join ataupun tidak. Kalau dapat team yang baik dan serasi saya pasti akan terima.

“Saya rindukan SYJ sebenarnya, saya rindu gandingan bersama Yassin dan Jihan tapi kita tahu Jihan tak mungkin dah masuk bertanding, Yassin pula sibuk. Jadi kita tengoklah macam mana nanti,” jelas Shuk. -MHE TV

Iklan