Ingat pesan ni, lain kali jangan sesuka hati nak komen dalam media sosial. Silap hari bulan dah masuk ke dalam penjara, macam abang ni.

Gara-gara meninggalkan komen berbaur sensitif baru-baru ni, Mohd. Hannan Ibrahim, 27, yang bekerja sebagai penghantar ikan patin akhirnya terpaksa meringkuk dalam penjara selama enam bulan.

Dia dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang hari ini. Mohd. Hannan yang berasal dari Kampung Parit, Pekan dekat sini membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di depan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hannan didakwa dengan niat meninggalkan komen terhadap dua anggota polis yang maut kemalangan di Facebook Komuniti Kuantan berbunyi ‘padan muka polis segelintir jahat hahahaha’ bagi tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak menggunakan telefon pintar jenis Samsung Galaxy J2 Prime kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Oktober lalu, lapor Utusan Online.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana menyifatkan ia satu kesalahan serius berbentuk penghinaan terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ahli keluarga mangsa. –MHETV.

Sumber gambar: Utusan Online.

Iklan