Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berhasrat untuk mewariskan empayar perniagaan kosmetik miliknya iaitu SimplySiti buat anaknya, Siti Aafiyah Khalid.

Siti yang juga merupakan Presiden SimplySiti memberitahu, beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sememangnya mahu melihat Aafiyah menceburi bidang perniagaan apabila sudah menginjak usia dewasa kelak.

“Biarpun Aafiyah baru berusia setahun, tapi dia suka dan teruja bila melihat saya sedang bersiap dan mengenakan solekan.

“Jadi, jika Aafiyah benar-benar berminat dengan bidang perniagaan kosmetik, syarikat ini (SimplySiti) akan saya wariskan kepadanya.

“Memang saya biina empayar SimplySiti ini untuk anak saya. Dia akan teruskan legasi perniagaan saya satu hari nanti,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis pelancaran Epie X Siti by SimplySiti di Glasshouse Seputeh, di sini hari ini.

Sebelum ini, akui penyanyi lagu Anta Permana itu pernah memberitahu yang beliau dan suami tidak menggalakkan anaknya itu untuk bergelar penyanyi.

Menurut Siti, beliau lebih selesa mendedahkan Aafiyah dengan ilmu agama sejak kecil. -MHE TV

Iklan