Bintang sensasi Korea, Choi Siwon bakal bertandang lagi ke Malaysia pada 29 Jun ini.

Kunjungan anggota kumpulan popular, Super Junior itu kali ini sempena mempromosikan produk penjagaan kulit jenama Amerika, Kiehl’s.

Acara tersebut yang dijadualkan pada pukul 2 petang akan diadakan di ruang legar Concourse, pusat membeli belah Sunway Pyramid.

Ini merupakan kali keempat Siwon hadir secara solo ke Kuala Lumpur selepas kunjungan kali terakhir, sekitar Ogos tahun lalu.

Ketika itu jejaka berusia 32 tahun ini hadir sebagai duta Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi menjayakan kempen membanteras gejala buli.

Dia juga pernah datang ke ibu negara sekitar Februari 2015 sempena mempromosikan filem lakonannya, Dragon Blade bersama bintang utama, ikon seni mempertahankan diri bertaraf antarabangsa, Jackie Chan dan aktor Amerika, John Cusack.

Sebelum itu pada Mac 2013, pelakon drama My Fellow Citizens ini datang ke sini dan menjalani penggambaran iklan aplikasi komunikasi LINE, di Taman Tasik Ampang Hilir. – MHE TV

Iklan