Ekoran kontroversi beberapa kenyataan berbaur provokasi yang dikeluarkan bekas ahli kumpulan Inteam iaitu Suhaimi Saad, pihak penganjur Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM sepakat untuk merehatkan Suhaimi daripada konsert kali ini.

Menerusi satu kenyataan oleh KGM EVENT, pihaknya sedia maklum mengenai kontroversi yang melanda Suhaimi sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen. 

Suhaimi Saad

“Kami berasa amat kesal, perkara ini menjadi isu yang sangat besar sehingga mencetuskan perang mulut yang melibatkan ramai pihak dan Suhaimi sendiri.

“Kontroversi ini pada mulanya dilihat sebagai isu kecil yang tercetus daripada keterlanjuran khilaf yang mungkin tidak disengajakan atas kapasiti peribadi. 

“Ia tidak sedikitpun mengurangkan keyakinan kami untuk bergandingan dengan beliau bagi menjayakan penganjuran konsert amal ini,” ulas Mahmud Fahrurrazey selaku pengarah KGM Event. 

Tambah Mahmud, sepanjang bekerjasama dengan Suhaimi, penyanyi itu dikenali sebagai seorang yang sangat komited dalam menyokong sebarang program yang berunsurkan dakwah dalam memperjuangkan irama nasyid. 

“Pihak kami ada berhubung dengan beliau baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai kontroversi yang melanda selain untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai pembabitan beliau dalam konsert ini.

Barisan artis nasyid yang akan membuat persembahan di Konsert Amal 4Nomena Alumni UIAM pada 20 April depan.

“Setelah mengambil kira segenap sudut pandangan dan keperluan demi kelangsungan penganjuran konsert amal ini di masa akan datang, kami bersepakat untuk merehatkan Suhaimi daripada konsert kali ini. 

“Keputusan ini juga diambil untuk memberi sedikit ruang kepada beliau atas persetujuan bersama dengan kedua belah pihak setelah berbincang dengan teliti.

“Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan dan kematangan Suhaimi sendiri untuk menyelesaikan segala kemelut yang berlaku dengan penuh berhemah dan integriti,” jelasnya. – MHE TV 

Iklan