Zarul melangkah menuju ke lobi hotel. Ditolehnya ke kiri dan kanan, nampak sunyi sepi. Beberapa buah sofa yang ada di situ juga nampak kosong tidak berpenghuni. Mungkin ramai pengunjung sudah naik ke bilik masing-masing, getus hatinya, maklumlah hari pun sudah lewat malam, lagipun hotel yang didiaminya ini bukanlah hotel mewah bertaraf lima bintang, jadi tak ramai pun pengunjung yang bermalam di sini.

Lantas ditinjaunya di kaunter pendaftaran. Nampak kelibat seorang wanita berusia awal 30-an sedang sibuk menyusun fail-fail yang berada di atas meja. Zarul teruskan langkah sehingga sampai ke depan pintu lif. Dijelingnya jam di tangan. Sudah hampir jam 2.00 pagi. Dia menguap sambil menggosok matanya beberapa kali. Mengantuk benar rasanya dia ketika itu.

Nasib baiklah hotel ni masih ada bilik kosong untuk dia bermalam kalau tidak haru juga dibuatnya, maklumlah silap dia juga kerana tidak mencari hotel awal sebaik saja sampai dari Kuala Lumpur siang tadi tadi, dia sangka banyak lagi hotel yang kosong, tup-tup selepas pulang dari hadiri program di pejabat cawangannya petang tadi semua hotel berdekatan yang dia singgah habis penuh. Nasib baiklah hatinya berdetik untuk singgah bertanya di hotel ini kalau tidak tidur dalam keretalah dia malam ni nampaknya.

Sebaik saja lif terbuka terus dia meluru masuk, lantas ditekannya butang yang tertera nombor 12, iaitu tingkat biliknya berada. Sedang dia menghitung waktu untuk sampai ke atas, tiba-tiba… ‘tingg…..’ lif terhenti di tingkat tiga. Dan sebaik saja pintu lif ternganga luas kelihatan seorang wanita berusia lewat 40-an melangkah masuk bersama seorang kanak-kanak perempuan yang berusia sekitar enam ke tujuh tahun . Zarul lantas merapatkan tubuhnya ke dinding supaya wanita tersebut berasa lebih selesa.

Kanak-kanak perempuan tersebut mendongakkan kepala memandang ke arahnya. Zarul sekadar tersengih. Dia sendiri tak tahu apa yang ingin ditanya, apatah lagi wanita yang bersamanya ketika itu hanya diam membatu tanpa sepatah kata. Comel budak perempuan ni, bisik Zarul dalam hati, apatah lagi bila dia mengenakan skirt separas lutut dan rambut yang ditocang dua. Sekali pandang tak ubah seperti kanak-kanak yang mengiringi mempelai untuk menuju ke pelamin.

Zarul pandang pula ke arah wanita yang bersamanya ketika itu. Mungkin wanita ini ibunya, kata Zarul lagi dalam hati. Dia fikir mungkin mereka berdua baru pulang dari menghadiri majlis perkahwinan, kerana melihatkan wanita tersebut yang mengenakan selendang beserta baju kebaya hijau dan berkain batik. Haruman minyak wangi yang dipakai mereka juga kuat menusuk hidung, sekaligus memenuhi ruang di dalam lif tersebut. Mungkin mereka berdua tetamu yang datang dari jauh agaknya, apatah lagi bila mereka juga menginap di hotel sepertinya.

Tiba-tiba lamunan Zarul terhenti apabila pintu lif yang dinaikinya berhenti di tingkat lima. Dan sebaik saja pintu lif tersebut terbuka luas, tiba-tiba kanak-kanak perempuan tersebut lantas melepaskan tangannya dari genggaman wanita tersebut dan meluru keluar. Tergamam Zarul seketika apatah lagi bila dilihatnya wanita tersebut hanya berdiri kaku tanpa sebarang reaksi. Lantas tak sampai beberapa saat kemudian pintu lif tertutup kembali.

“Eh, puan… tu anak puan nak pergi ke mana pulak?” tanya Zarul berdebar. Dia pula yang tiba-tiba berasa risau, apatah lagi bila melihatkan wanita tersebut bersikap selamba seperti tiada apa-apa berlaku. Wanita tersebut tidak membalas pertanyaannya. Dia hanya mendiamkan diri sambil sesekali tunduk memandang lantai. Geram pula Zarul dalam hati. Rasanya ingin saja dia meninggikan suara dan mengulangi pertanyaannya sekali lagi. Boleh pula dia diam membatu seolah tiada apa yang terjadi, nanti kalau terjadi perkara yang tidak diingini, nak salahkan siapa pula?  Tambah pula kita bukan tahu siapa yang menginap di hotel ni, buatnya ada orang jahat atau orang tak siuman yang ambil kesempatan bagaimana pula. Masa tu barulah menyesal tak sudah. Pelik juga bila fikir ada emak yang spesis tak kisah macam ni, ngomel Zarul dalam hati.

“Tingggg….” Lif tiba-tiba terbuka di tingkat 7, dan sebaik saja pintunya terkuak, Zarul nampak kanak-kanak perempuan yang berlari keluar di tingkat 5 sebentar tadi meluru masuk. Terus didakapnya wanita yang ada di dalam lif tersebut. Dia kaget. Namun yang menghairankan wanita tersebut langsung tidak bertanya atau memarahi kanak-kanak tersebut, malah dia hanya tertawa mengekek seolah-olah ia satu perkara yang lucu baginya.

“Tingggg….” Sekali lagi pintu lif terbuka di tingkat 8, dan seperti tadi juga kanak-kanak perempuan tersebut berlari keluar dan meluru ke koridor. Zarul mula garu kepala. Tak faham dia apa sebenarnya yang ingin mereka tunjukkan padanya ketika itu. Adakah mereka sekadar ingin berjenaka atau itu merupakan sebagai hiburan bagi mereka. Zarul tiada jawapannya. Lantas pintu lif kembali tertutup dan seperti tadi wanita di hadapannya masih lagi mendiamkan diri sambil wajahnya tunduk memandang lantai.

Tidak sampai beberapa saat kemudian sekali lagi lif berhenti di tingkat 11. Dan sebaik saja pintu lif terbuka, kanak-kanak perempuan tadi sudah sedia ada di depan lif. Pelik! Zarul mula rasa gelisah dan tak sedap hati. Dia pelik kerana tak mungkin kanak-kanak sekecil ini yang tadinya keluar di tingkat 9 boleh muncul di tingkat 11 dalam masa beberapa saat. Zarul mula terfikir yang bukan-bukan, jantungnya serta merta berdegup kencang.

Dan sebaik saja kanak-kanak tersebut melangkah masuk ke dalam lif terus saja dia mendakap wanita tersebut. Mereka berdua saling ketawa seoalah-olah itu merupakan satu jenaka yang cukup menggeletek hati. Zarul semakin panik, namun hatinya seolah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena ketika itu apatah lagi bila mendengar ketawa mereka berdua semakin lama semakin galak dan menyeramkan. Ketika itu juga hidung Zarul dapat menangkap bau kapur barus yang entah dari mana datangnya. Baunya cukup kuat sehingga menusuk rongga hidungnya.

Perjalanan lif dari tingkat 11 ke tingkat 12 dirasakan cukup lama. Zarul hanya mampu bertawakal. Dia berdoa agar lif yang dinaikinya cepat sampai ke tingkat 12. Dia tak sabar hendak keluar dari situ. Tubuhnya sudah mulai basah dengan peluh. Dia juga sudah tak berani memandang wanita dan kanak-kanak yang berdiri di hadapannya ketika itu. Dia dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena pada mereka berdua.

“Hiiiiiiiiiii…… hiiiiiiiiiiiiiiiiii……. Hiiiiiiiiiiiiiii…… hiiiiiiiiiiiii……” hampir nak tercabut nyawa Zarul bila mendengar hilaian yang tak berhenti-henti dari dua makhluk yang berdiri di hadapannya ketika itu. Kakinya seakan sudah tak mampu lagi untuk berdiri lama di dalam lif tersebut. Hilaian panjang dengan nada yang menyeramkan itu seakan menyentap jantungnya keluar dari tubuh.

Dan sebaik saja lif yang dinaikinya berhenti di tingkat 12, Zarul terus meluru keluar. Peluh sudah mencurah keluar di dahinya, dia tak toleh ke belakang lagi. Dia berlari di koridor menuju ke biliknya. Kelam kabut dia mencari kad akses di dompetnya untuk membuka pintu bilik, dan ketika kelam kabut itulah telinganya menangkap bunyi hilaian panjang bersahut-sahutan dari pintu lif yang masih terbuka lagi. Hilaian tersebut begitu menyeramkan hingga buatkan dia menggigil ketakutan.

Sebaik saja masuk ke bilik Zarul terus melompat ke katil dan berselubung. Dia nekad untuk keluar dari hotel seawal pagi nanti. Rasanya kejadian yang berlaku sebentar tadi adalah peristiwa yang cukup menyeramkan seumur hidupnya. Namun bagaimana pun dia bersyukur kerana tidak melihat wajah makhluk tersebut ketika keluar dari lif sebentar tadi, kalau tidak tak tahulah apa yang jadi padanya, mungkin dia jatuh pengsan atau pun boleh demam terkejut. Namun hatinya masih lagi tertanya-tanya siapakah gerangan makhluk wanita dan kanak-kanak tersebut. Rasanya esok pagi dia ingin bertanya kepada pengawal ataupun pekerja yang bertugas nanti. Adakah kejadian tersebut pernah dialami oleh orang lain, ataupun hanya dia seorang. Sumpah, lepas ni dia takkan menginap di hotel ni lagi, bisiknya dalam hati. – MHE TV

Iklan