Di St. Francisville dalam daerah Louisiana, Amerika Syarikat terdapat sebuah ladang beserta sebuah rumah agam yang dibina lebih 200 tahun lalu. Ladang tersebut di beri nama ‘Ladang Myrtles’.

Terdapat pelbagai versi yang diceritakan tentang asal usul rumah ini. Salah satu versi mengatakan, rumah ini dibeli oleh Ruffin Gray Stirling pada tahun 1834. Beliau membawa isterinya, Mary Catherine Cobb serta sembilan anak mereka untuk menetap di rumah tersebut.

Dikatakan, keluarga Ruffin terkenal di seluruh kawasan St. Francisville kerana kekayaan mereka. Ruffin juga sempat mengubah hampir keseluruhan kawasan rumah agam itu sebelum dia meninggal dunia empat tahun kemudiannya.

Kematian Ruffin menyebabkan segala urusan ladang dan perniagaan, diuruskan isterinya Mary Catherine.

Sekali pun kaya, keluarga ini dikatakan sering ditimpa nasib malang. Daripada sembilan orang anak, hanya empat daripada mereka hidup sehingga menginjak usia dewasa. Lima anak Mary yang lain meninggal sewaktu masih kecil kerana penyakit berjangkit yang menyerang kawasan tersebut.

Malang terus bertimpa. Sejak kematian Ruffin, masalah kewangan mula menghimpit keluarga tersebut. Semua hartanya terpaksa digadai untuk membayar hutang kecuali ladang Myrtles.

Mary kekal mempertahankan satu-satunya harta peninggalan suaminya itu sehingga meninggal dunia pada tahun 1880.

Selepas kematiannya, pengurusan ladang diambil alih oleh anak perempuannya, Sarah dan suaminya, William Winter.

Bala menimpa lagi. Laporan akhbar Point Coupee menyatakan menantu keluarga tersebut iaitu Wiliam telah dibunuh di luar rumah Ladang Myrtles.

Ketika itu, dia sedang mengajar di salah satu ruang tamu rumah agam tersebut. Siapa pembunuhnya dan motif pembunuhan kekal misteri sehingga ke hari ini.

Kematian suaminya membuatkan Sarah mula tertekan. Pun begitu, dia kekal tinggal di rumah tersebut sehingga akhir hayat.

Kematian Sarah menyebabkan pengurusan ladang Ladang Myrtles diuruskan pula oleh salah seorang abang Sarah sebelum menjual kepada Oran D Brooks kerana tidak mampu lagi menanggung hutang yang banyak.

Oran hanya menjadi tuan sementara sebelum menjual rumah itu kepada Harrison Milton Williams pada tahun 1889.

Pada tahun 1891, Harrison bersama dan isteri kedua dan anak bangsunya berpindah ke rumah tersebut.

Bala menimpa pemilik baharu ini pula. Suatu hari, anak bongsu Harrison mati lemas di dalam sebuah kolam ketika cuba membantu menyelamatkan seekor lembu yang terjatuh ke dalamnya.

Kecewa dengan kejadian tersebut, Harrison telah menyerahkan ladang Myrtles kepada anak sulungnya, Surget Minor Williams.

Pada tahun 1950, kawasan tanah di sekitar rumah tersebut telah dibahagikan dalam kalangan waris keluarga Williams.

Rumah ‘pembunuh’ itu pula akhirnya dijual kepada Marjorie Munson, seorang janda yang berasal dari Okhlahoma. Namun, kisah misteri yang dikaitkan dengan rumah itu masih belum berhenti.

Sejak tinggal di rumah agam itu, Marjorie sering melihat bayangan seorang wanita berselendang hijau merayau di sekitar kawasan rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, Marjorie juga mendakwa pernah terlihat bekas tapak tangan pada cermin rumahnya selain sering terhidu bau wangi yang tidak diketahui dari mana arah datangnya.

Bahkan, dia juga pernah terlihat bayangan kanak-kanak bermain dan berlari di sekitar kawasan balkoni rumah.

Bingung dengan kejadian misteri tersebut, Marjorie cuba mencari jawapan. Hasil siasatannya berdasarkan cerita penduduk setempat, rumah agam ini asalnya dimiliki pasangan Clark Woodruff dan Sarah Mathilda. Kononnya, pasangan itu mempunyai dua orang anak perempuan.

Clark dikatakan telah menjalin hubungan sulit dengan Chloe, salah seorang pembantu rumah mereka. Namun selepas beberapa ketika, Clark yang sudah bosan dengan Chloe mula mengabaikannya dan mencari mangsa baharu.

Chloe yang bimbang akan nasib yang bakal menimpa dirinya mulai resah. Dia sering kali menghendap dan memasang telinga pada perbualan Clark dan Sarah.

Sehinggalah pada suatu hari, Chloe telah ditangkap atas perbuatannya dan sebagai hukuman, sebelah cuping telinganya telah dipotong. Sejak kejadian itu, Chloe akan menutup kepalanya dengan selendang hijau bagi menyembunyikan kecacatan dirinya.

Tidak lama kemudian, Chloe dikatakan telah meracun isteri dan kedua-dua anak perempuan Clark dengan meletakkan racun di dalam kek hari jadi anak pertamanya. Kesemua mereka mati beberapa jam selepas makan kek tersebut.

Takut Clark bakal menghukum kesemua pekerjanya, para pembantu rumah yang lain sepakat mengheret Chloe keluar dari rumah itu sebelum menggantung Chloe sehingga mati disalah sebuah pokok besar di hadapan rumah tersebut.

Tiada siapa dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran kisah kewujudan Chloe dan pembunuhan yang telah dilakukannya.

Namun, kejadian aneh masih kekal menghantui rumah di ladang Myrtles sehingga menarik minat pengkaji aktiviti paranormal datang untuk merasakan sendiri pengalaman bersama ‘penghuni’ di situ.

Ada pengunjung mendakwa bukan hanya roh Chloe saja berkeliaran dalam rumah itu sebaliknya ada yang pernah terlihat bayangan seorang gadis cantik sedang merenung ke luar jendela. Mungkin gadis itu adalah salah seorang anak pemilik terdahulu yang dikatakan meninggal sewaktu muda.

Selain itu, Piano yang terletak dalam ruang tamu utama juga sering berbunyi sendiri, memainkan not yang sama berulang kali hampir setiap malam. Ia hanya akan berhenti jika ada sesiapa masuk, tetapi kembali berbunyi apabila mereka meninggalkan ruang tersebut.

Tuan rumah Ladang Myrtles juga sering bertukar ganti. Kini, khabarnya rumah itu telah dijadikan hotel dan bilik penginapan untuk memberikan peluang kepada pengunjung merasakan sendiri pengalaman bertemu dengan entiti yang masih berkeliaran. – MHE TV

Iklan