Melalui fasa perubahan yang besar dalam kehidupan, Intan Saleh yang sebelum ini seorang suri rumah sepenuh masa kini menjadi tumpuan ramai apabila kes perceraiannya bersama bekas suami, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude wahid, menjadi perhatian.

Berbekalkan pengikut laman sosial, Instagram miliknya yang kini suah mencecah empat ratus ribu orang pengikut menjadikan Intan salah seorang instafamous yang diburu peniaga-peniaga online.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjana pendapatan melalui review Instagram sebab tak percaya mampu melakukannya dengan baik.

“Awalnya ada seorang peniaga yang mesej minta saya lakukan review terhadap produknya dengan bayaran RM150, saya berfikir banyak kali dan akhir saya setuju.

“Bermula daripada itu saya terus memulakan kerja dalam bidang ini dan syukur ia dapat pulangan yang baik.

“Saya akui setakat ini masih banyak perkara perlu saya pelajari terutama dalam menjadi orang tengah antara peniaga dan pelanggan.

“Alhamdulillah dengan wang saya terima ini dapatlah saya membahagiakan anak-anak dan menanggung keperluan diri setiap bulan,”luah Intan.

Intan bersyukur kerana kini sudah mempunyai beberapa produk sendiri .

Runsing memikirkan diri yang sudah kehilangan tempat bergantung, Intan mengaku dirinya berada dalam keadaan kucar- kacir pada bulan pertama bergelar ibu tunggal.

“Waktu awal-awal berpisah, saya memang tidak kuat. Saya bukan takut anak-anak tidak dapat makan minum kerana saya yakin ayah mereka akan bertanggungjawab pada kebajikan anak-anaknya tapi bagaimana pula dengan diri saya?

“Saya hanya suri rumah, jadi siapa pula akan tanggung saya ketika itu. Bil elektrik, air dan rumah perlu dibayar setiap bulan. Semua perkara saya kena fikirkan sendiri. Syukur, rezeki Allah datang tanpa perlu saya keluar meninggalkan anak untuk mencari rezeki.

“Saya pernah terfikir untuk mencari kerja, tapi saya tidak ada apa-apa kemahiran. Tapi sekiranya satu hari keadaan memaksa saya untuk bekerja, saya akan mencubanya,” luah Intan yang kini turut mempunyai beberapa produk sendiri antaranya, pelembab bibir, minyak wangi dan kosmetik.

Intan turut mengakui dia selesa bergerak sendiri namun tidak menolak sekiranya bertemu jodoh dalam masa terdekat.

“Setakat ini saya masih sendiri, selesa begini dan jika ada jodoh sekalipun saya harap biarlah lelaki itu boleh menerima saya dan anak-anak dengan ikhlas,” luahnya. –MHE TV

Iklan