Setelah dikurniakan zuriat kedua pada Januari lalu, Ahmad Nubhan, 32, akui rutin sambutan Syawal kali ini dirasakan berbeza dek perubahan yang terpaksa dilaluinya.

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad memberitahu, kehadiran bayi lelaki sulung yang dinamakan Aafan itu sedikit sebanyak telah memadatkan jadual hariannya serta isteri.

“Sebelum ini cuma ada seorang, senang untuk menjaganya bergilir-gilir. Sekarang ini apabila dah masuk dua, syif tugasan jaga anak jadi berganda.

Aafiya dan Aafan jadi penyeri dalam hidup Nubhan di sisi Afifah

“Sewaktu nak balik beraya di kampung minggu lalu, baru saya sedar muatan di ruang bonet kereta saya sudah terlebih berbanding tahun dulu,” ujar Nubhan yang menyambut Syawal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Tambahnya, dia tidak menyangka, sejak Aafan dilahirkan, berlaku pertambahan terhadap bilangan barang kelengkapan mereka sekeluarga sehingga padat jadinya.

“Bonet kereta tu penuh dengan beg pakaian saja. Lagak macam sebulan nak duduk di kampung, walhal seminggu pun tak sampai.

“Kelengkapan orang dewasa pun tak sebanyak itu. Bertimbun banyaknya barang-barang anak saja,” tambahnya menjelaskan perubahan rutin paling ketara dilalui menjelang Aidilfitri kali ini.

Sekitar Ogos 2015, Nubhan bertemu jodoh dengan Dr. Afifah Hidayah Tawfek, 29, sebelum berjaya menimang cahaya mata pertama, Aafiya, 2, pada Mei 2017. – MHE TV

Iklan