Jika kebanyakan kumpulan KPop wanita mengikut trend dengan taruhan konsep lebih seksi dan ‘daring’ dari segi lagu, koreografi mahupun imej, tetapi GFriend tidak!

Enam gadis manis ini berjaya kekal pakej yang mereka bawa sejak empat tahun lalu iaitu imej bertenaga, manja dan mudah disayangi (lovelable) ramai orang.

Sabtu lalu, Sowon, SinB, Yerin, Eunha, Yuju dan Umji telah ‘mencairkan hati’ lebih 5,000 penonton menerusi konsert ‘GFriend Asia Tour [Go Go Gfriend!] in Kuala Lumpur, yang berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam.

Tampil cantik dengan busana mini skirt berwarna pastel, mereka membuka tirai konsert dengan lagu hit, Me Gustas Tu (I Like You).

Pentas meriah berlatarkan grafik di layar lebar yang berwarna warni tatkala mendendangkan lagu, Lets Party, Vacation, Truly Love, Love in The Air, Love Whisper, Windy Windy dan You Are My Star.

Sesekali GFriend mengambil peluang berkomunikasi dengan Buddy (gelaran peminat) sambil cuba bertutur dalam bahasa Melayu seperti “Seronok tak!?”, “Saya rindu kamu”, “Saya suka kamu” dan “bagus!”.

Malah mereka ‘berani menggoda’ peminat lelaki apabila memanggil dengan panggilan “Buddy Sayang”.

Selepas 10 minit berhenti untuk menukar pakaian, GFriend kembali merancakkan semula konsert dengan lagu seperti Shy Boy, Monday Blues, You Were Not Alone, Only One dan L.U.V.

Seketika, suasana bertukar kepada mood sentimental apabila mereka mendendangkan lagu Rough versi balada.

Lagu tersebut pernah memenangi 29 kali program muzik di Korea sekaligus melonjakkan populariti mereka ke seluruh dunia.

Seperkara lain yang menarik, peminat tidak henti-henti memberikan sorakan semangat dan laungan nama semua anggota setiap kali mereka memulakan nyanyian.

“Banyak mesej di media sosial meminta kami datang ke Malaysia. Kami juga sudah lama menanti peluang ini dan akhirnya kami dapat tunaikan permintaan anda.

“Ini satu pengalaman dan memori yang sangat manis dan kami berharap akan dapat kembali lagi ke sini,” kata Yuju mewakili rakan lain sebelum mereka mengakhiri persembahan .

Selama dua jam setengah, antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Flower Garden, Sunrise, Time For The Moon Night, Memoria, Flower, Crush, Fingertip, Navillera, Love Bug dan Compass.

Konsert anjuran Macpiepro ini tamat pada pukul 9 malam. – MHE TV

Iklan