Sesungguhnya Allah yang menggerakkan hati dan Dia juga yang Maha Kuasa membolak-balikkan hati setiap manusia. 

Pengacara bual bicara pagi, Malaysia Hari Ini (MHI) yang juga hos rancangan 999 di TV3, Anim Ezati Rizki mengejutkan penonton MHI pada pagi Rabu lalu apabila muncul dengan imej berhijab. 

Ketika dihubungi MHE TV, Anim mengesahkan yang dia kini sudah bertudung dan keputusan yang diambil adalah tanpa paksaan mana-mana pihak. 

“Alhamdulillah…baru masuk hari keempat saya pakai tudung. Tiba-tiba rasa nak pakai tudung. Nak bagitau macam mana perasaan tu, susah.

“Memang dah lama nak pakai sebenarnya tapi belum ready lagi. Sampai sekarang belum ready cuma Allah dah gerakkan hati saya untuk pakai,” luah Anim yang bersyukur kerana apa yang dihajati selama ini dipermudahkanNya. 

Penampilan terbaharu Anim yang semakin cantik berhijab.

Ditanya tentang keputusannya itu, Anim akui ia berlaku secara tiba-tiba, jauh sekali didatangi mimpi sebagai petunjuk. 

“Cuma yang saya ingat, dua malam berturut-turut tak boleh tidur. Malam tu saya teringat balik semua perkara yang pernah saya buat selama ni. 

“Dan pagi esoknya bila dah keluar rumah nak pergi set MHI untuk on air, saya patah balik ke rumah ambil tudung dan terus pakai. 

“Sampai di set, semua terkejut tengok penampilan saya. Wardrobe pun terpaksa tukar baju yang dah disediakan dengan baju dan tudung yang sesuai. Alhamdulillah semuanya okey,” katanya kepada MHE TV. 

Kongsi Anim lagi, banyak perkara yang membuatkan hatinya nekad berhijab lebih-lebih lagi bila terkenangkan arwah mama dan papanya yang sudah 21 tahun meninggal dunia. 

Foto ibu saudara Anim, Maznah Abd Kadir yang meninggal dunia baru-baru ini.

Anim bersama ibu tiri yang menjaganya selama ini, Nooriah Abd Kadir.

“Baru-baru ni, ibu yang pernah jaga saya pula meninggal. Malam tu saya tak boleh tidur, saya ambil al Quran dan buat pertama kalinya tergerak nak baca tafsir. 

“Bila terbaca tentang tiga perkara yang akan kita bawa ke akhirat, baru tersedar selama ini doa anak yang solehah tu tak ada untuk arwah mama dan papa. 

“Saya tak nak hilang sesiapa lepas ni. Tak sanggup dah rasanya kehilangan orang tersayang,” ujarnya bersyukur dipilih untuk merasa nikmat berubah. 

Sebak pula mendengar kisah Anim. Semoga apa yang terjadi dalam hidupnya menguatkan lagi semangat Anim untuk mengharungi hari-hari mendatang, Insya Allah. – MHE TV 

Ruang komen