Islam itu mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Penceramah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman, hari ini berkongsi tentang penjelasan mengenai tatu di badan buat mereka yang beragama Islam.

Ujar PU Azman memuat naik entri di laman Instagram miliknya, menjelaskan tindakan yang perlu diambil apabila seseorang itu ingin membuang tatu di badannya.

“Soalan: Jika seseorang yang pernah buat tatu pada zaman jahilnya walaupun dia Muslim atau ketika dia Non Muslim, kemudian berhijrah, maka wajibkah dibuang tatunya?

“Jawapan: Kalau dengan membuangnya akan memudaratkan nyawa, serta tiada alat yang dapat membuangnya dengan mudah tanpa sakit atau alat tu ada tapi dia tak mampu dengan kos yang tinggi, maka Allah itu Maha Pengasih. Dia tak perlu buang tatu.

“Wuduk dan mandi wajib dan solatnya tetap sah! Tatu tak menghalang air. Tatu merupakan kulit itu sendiri yang dicetak. Bukan lapisan baharu yang menutup kulit daripada unsur luar,” tulis PU Azman.

Jelas PU Azman lagi, kenyataan tentang tatu tak wajib dibuang tidak bermaksud perbuatan itu dihalalkan.

“Jangan salah faham. Tak wajib buang tu bukan maksudnya tatu tu halal. Kita bincang pasal tatu yang dah dibuat sejak zaman jahil. Tapi kalau seseorang tu memang tak ada tatu dan dah tahu hukum, maka memanglah tak boleh buat. Jadi, ini adalah dua situasi yang berbeza,” tambahnya.

Jadi, buat mereka di luar sana, fahami betul-betul apa yang diterangkan oleh PU Azman ni ye. Jika masih ada yang tak faham atau keliru lagi, bolehlah bertanya pada yang lebih pakar dalam soal ini. – MHE TV

Iklan