Bekas ahli kumpulan Qanda yang pernah dikenali menerusi single Cinta Yang Sempurna iaitu Edaman Othman, 26, mengakui dia kini kembali solo setelah lebih tiga tahun bergelar suami.

Edaman atau Muhd. Nooredaman Othman ketika ditemui baru-baru ini mendedahkan, rumah tangganya yang dibina pada 11 Disember 2015 telah ‘roboh’ sejak tahun lalu.

“Sebenarnya, sudah lebih enam bulan saya menggalas status duda dan kembali hidup membujang.

“Sebab musabab berlakunya perceraian ini biarlah saya dan bekas isteri sahaja yang mengetahuinya.

“Sudah ditakdirkan usia jodoh kami kurang dari empat tahun dan saya akur menerima situasi ini,” jelas Edaman.

Terdahulu, perkahwinan bersama Nadia Shafiqa Zainal dikurniakan seorang cahaya mata bernama Tuffah Aisyah, 2, yang kini di bawah jagaan bekas isterinya.

Membayangkan sambutan Aidilfitri yang mendatang, pasti bukan mudah untuk Edaman menafikan kesedihan bakal dirasainya kerana terpaksa berjauhan dengan satu-satunya puteri kesayangannya.

Edaman buat kali pertama tidak dapat meraikan lebaran bersama puterinya

“Suasana raya kali ini mesti amat berbeza jika dibandingkan detik ketika kami sekeluarga masih bersama.

“Tuffah ibarat sumbu cahaya yang menerangi dan menceriakan lagi sambutan raya kami,” ujar pemuda kelahiran Johor itu.

Pun begitu, dia dan Nadia sepakat untuk memastikan anak mereka dapat beraya dengan keluarga di kedua-dua belah pihak agar ikatan silaturrahim tidak terputus.

Biarpun sudah bercerai, Edaman dan Nadia sepakat ingin melihat Tuffah (tengah) seronok menyambut hari raya

“Sepanjang perayaan ini, kami akan bergilir membawanya beraya sambil menziarahi sanak-saudara,” tambahnya.

Baru saja muncul dengan single solo pertama berjudul Peluru pada September lalu, Edaman mahu fokus membina karier nyanyiannya di samping menjenamakan semula label fesyen kepunyaannya iaitu Dman Clo. – MHE TV

Iklan