Seorang wanita berjaya memenangi hadiah bernilai AS$311,652 (RM1,289,440) dalam sebuah pertandingan tekaan.

Patricia Andrew dari bandar Anchorage, Alaska berjaya mengalahkan peserta lain apabila berjaya meneka dengan betul, tarikh dan masa sebuah tripod akan jatuh ke dalam air ekoran permukaan ais yang mencair di Sungai Tanana, berhampiran bandar Nenana.

Pertandingan meneka Ice Classic ini menjadi acara tahunan bagi penduduk Alaska.

Penganjur pertandingan tahunan Ice Classic berkata, Andrew meneka permukaan sungai tersebut akan mencair pada 14 April, sekitar jam 12.21 pagi (waktu tempatan), sekali gus menjatuhkan tripod yang diletakkan di atasnya.

“Andrew merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuat tekaan tepat,” jelas penganjur ketika mengumumkan keputusan pada Jumaat lalu.

Setiap tahun penduduk Alaska yang berminat akan membeli tiket bagi meneka waktu dan hari sebuah tripod yang diletakkan di atas permukaan sungai yang beku akan jatuh ke dalam air setelah ais mencair.

Jika tiada peserta yang meneka dengan tepat, jawapan paling hampir akan dikira sebagai pemenang. – MHE TV

Iklan