Tempoh tujuh hari sejak 7 April yang diberikan kepada pemilik akaun Instagram dikenali dengan nama Makcik Puaka untuk memohon maaf secara terbuka atas tuduhannya terhadap Datuk Fizz Fairuz gagal dimanfaatkan apabila berakhir dua hari lalu.

Fizz atau Mohd. Fairuz Zainal Abidin, 39, ketika dihubungi menjelaskan, pada jam 2 petang tadi, satu laporan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul terhadap pemilik akaun terbabit untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Saya melanjutkan tempoh sehingga jam 12 tengah malam tadi, namun Makcik Puaka tidak melakukan seperti yang dituntut sebelum ini.

“Dia cuma menghubungi saya menerusi DM (direct message) Instagram untuk meminta maaf, bukannya permohonan maaf secara terbuka.

“Bahkan, sehingga kini identitinya masih tidak diketahui,” jelas Fizz kepada MHE TV.

Terdahulu, Makcik Puaka didakwa telah menyebarkan berita palsu dengan memberi gambaran bahawa Fizz adalah individu bergelar Datuk Seri yang ditangkap khalwat di Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

Tambah Fizz, individu berkenaan juga ada meminta maaf menerusi ruangan IG Story akaun tersebut.

“Sedangkan, saya sudah meninggalkan nombor telefon sekiranya dia berhasrat untuk berjumpa dengan saya secara peribadi, sekali gus memudahkan proses permohonan maaf.

“Akan tetapi semua itu hanya sia-sia kerana dia langsung tidak menghubungi saya,” ujarnya lagi.

Justeru, Fizz menyerahkan kes tersebut kepada pihak peguam termasuklah urusan memfailkan saman fitnah ke atas Makcik Puaka. – MHE TV

Iklan