Selepas terpalit dengan satu demi satu kontroversi dan politik dalaman melibatkan dirinya juga artis-artis di bawah naungan syarikat miliknya, YG Entertainment, Yang Hyun Suk mengumumkan dia melepaskan semua jawatan yang dipegang dalam syarikat agensi hiburan KPop tersebut.

Pengunduran Hyun Suk daripada syarikat paling berpengaruh tersebut berkuatkuasa hari ini.

Selama 23 tahun membina empayar YG, penerbit muzik berusia 49 tahun itu berharap dengan pengundurannya, tiada lagi isu atau skandal yang timbul dalam syarikat berkenaan.

Malah dia berharap segala masalah akan dapat diselesaikan serta kebenaran akan terbukti.

Yang Hyun Suk melepaskan semua jawatan dalam empayar agensi berpengaruh YG Entertainment yang telah dibina selama 23 tahun.

“Saya minta maaf kepada semua yang menyayangi YG dan artis di bawah jagaan kami.

“Dengan ini saya meletakkan semua jawatan saya di YG berkuatkuasa pada hari ini, dan berharap tiada lagi kerosakan berlaku disebabkan saya, ” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, dia sangat tertekan dengan hinaan dan kata-kata cacian yang dilemparkan masyarakat dirinya termasuklah isu seperti Seungri (BigBang) didakwa terlibat dengan skandal pelacuran serta yang terbaharu, B.I (iKon) terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Selama 23 tahun menyerahkan separuh hidup saya kepada YG, tak dapat menahan sabar terhadap situasi sekarang di mana kata-kata nista dilemparkan secara terbuka.

“Saya berharap kebenaran akan terbukti dengan siasatan yang dijalankan

“Saya juga meminta maaf kepada semua pekerja YG yang tetap melaksanakan tanggujawab mereka biarpun dilemparkan dengan hinaan ekoran kontroversi yang dikaitkan dengan agensi,” tuturnya.

Meskipun sedih, namun Hyun Suk dalam pada itu turut menzahirkan kegembiraannya dalam menghasilkan muzik yang terbaik daripada kalangan penggiat seni yang terbaik di Korea selama lebih dua dekad mencurahkan bakti kepada YG sejak mula ditubuhkan.

Di bawah pimpinan Hyung Suk sejak tahun 1996 lagi, YG telah melahirkan puluhan artis-artis KPop yang hebat dan mencetus fenomena dunia seperti Big Bang, Blackpink, Sechs Kies, iKON, 2NE1, Akdong Musician, Epik High, Winner, Psy, Lee Hi, Dara dan CL.

Hyun Suk sendiri merupakan bekas ahli kumpulan Seo Taiji and The Boys yang merupakan pencetus revolusi Kpop pertama di Korea dan di Asia Tenggara satu ketika dahulu.

Perletakan jawatan pemimpin YG mengejutkan banyak pihak dan penggiat industri hiburan Korea.

Justeru nasib dan ‘jangka hayat’ sebahagian artis seperti Big Bang, Blackpink dan Winner kini menjadi persoalan, apakah mereka mampu mempertahankan legasi YG dengan ketiadaan ‘mastermind’ mereka? – MHE TV

Iklan