Jika melihat perkongsian pelakon dan penyanyi Isa Khan dalam media sosial, dia kini lebih sering meluangkan masa di Jakarta, Indonesia. Malah kisah Isa turut mendapat liputan media di sana apabila dikatakan rapat dengan seorang selebriti.

Ketika dihubungi MHE TV, Isa memberitahu dia kini sedang cuba untuk mengembangkan bakat di negara jiran itu. Dalam masa sama, Isa masih menerima sebarang tawaran berlakon di sini dan akan merakamkan single kedua dalam masa terdekat.

“Saya masih berulang-alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur. Bukannya terus menetap di sini (Jakarta).

“Jika ada peluang lebih baik, apa salahnya untuk saya kembangkan bakat di negara orang. Saya juga baru selesai penggambaran sebuah program realiti berjudul Anak Milenial.

“Bukannya tidak mahu berlakon di Malaysia. Cuma kebetulana saya ada tawaran di sini. Saya ikut sahaja di mana ada rezeki terbaik,” ujar Isa.

Bercakap tentang hubungannya dengan Evelyn Nada Anjani, kata Isa mereka masih dalam tempoh mengenali hati budi.

“Kami baru kenal sebulan lebih dan kini masih lagi dalam tempoh perkenalan. Tiada istilah cinta antara kami,” jelas Isa.

Iklan