Khai Bahar dan Siti Nordiana masing-masing membawa pulang trofi Top Top Meletop Lelaki dan Wanita.

Ahad lalu, berlangsung majlis Anugerah MeleTOP Era 2019 dengan penuh meriah dan dihadiri ramai artis tempatan.

Selain daripada kemenangan Top Top Meletop Lelaki dan Top-Top Meletop Wanita yang dimenangi Khai Bahar dan Siti Nordiana, ada pula kisah lain yang tak sedap didengar.

Kemenangan Siti Nordiana atau Nana untuk kategori Hos Meletop agak mengejutkan kerana berjaya menewaskan finalis lain yang lebih hebat seperti Alif Satar, Jihan Muse, Sherry dan Zizan Razak.

Nana bagaimanapun mempunyai jawapan sendiri bagi menjawab isu tentang ada yang mempertikaikan kemenangannya untuk kategori Hos Meletop.

“Sejujurnya, memang saya rasa terlalu kerdil untuk menerima anugerah Hos Meletop ini. Pada saya, hos-hos yang lain semuanya terbaik kerana mereka sendiri pun sudah ada rancangan sendiri, program talk show dan juga sudah selalu mengacara.

“Tetapi itulah, semuanya ini adalah kuasa undian peminat. Mereka terlalu sayangkan saya dan mahukan yang terbaik buat saya. Jadi mereka nak saya ada terima anugerah bagi tahun ini dan untuk itu, mereka berusaha fokus kepada undian bagi kategori Hos Meletop,” ujar Nana kepada MHE TV.

Sementara itu, Nana turut berterima kasih buat peminatnya yang tidak putus-putus memberikan sokongan buatnya biarpun ramai artis baharu yang muncul.

“Saya bersyukur kerana masih lagi diterima dalam industri seni kerana ramai artis muda yang berbakat dan juga mempunyai pakej yang lengkap. AME 2019 pun ramai artis-artis muda, jadi saya ni boleh dikatakan sebagai wakil artis lama,” ujar Nana. – MHE TV

Iklan