Setelah pengarah drama rantaian popular Nur, Shahrulezad Mohameddin mengesahkan bakal mengangkat drama itu ke layar perak, ramai yang tertanya-tanya adakah Azhan Rani yang membawa watak Ustaz Hamadi akan kembali atau tidak.

Ini kerana dalam episod akhir drama Nur 2 yang lalu, watak pelakon popular ini telah mati akibat ditikam isterinya.

Malah sebelum ini juga, Azhan sendiri memaklumkan yang dia tidak mahu lagi membawa watak Ustaz Hamadi dalam apa jua cara sekalipun.

Azhan ketika dihubungi bagaimanapun enggan memberi kata putus berkenaan penampilannya dalam filem terbabit.

Dia bimbang kata-katanya itu akan memakan dirinya sendiri kelak.

“Takut nak komen, sebab saya belum berbincang apa-apa dengan Shahrulezad.

“Takut nanti kalau kata tak nak, tiba-tiba bila berbincang saya terima pula.

“Sebelum ni memang saya dah tekad, apa pun berlaku saya tak nak lagi pegang watak Ustaz Hamadi.

“Sehinggakan saya minta pihak produksi mematikan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur 2 kerana saya harap karakter itu akan terhenti di situ sahaja.

“Jika Nur difilemkan mungkin tidak logik jika Ustaz Hamadi kembali dan hidup semula,” katanya kepada MHE TV.

Tidak meletakkan sebarang syarat untuk menerima tawaran itu, Azhan berkata dia harus berbincang lebih mendalam dengan pengarah supaya ada alasan munasabah untuk dirinya kembali dalam ‘roh’ Ustaz Hamadi.

“Kalau filem ini dibuat dengan ada kebaikan yang tertentu, saya akan terima tetapi jika ia dicipta hanya untuk kepuasan atau memenuhi kehendak penonton semata-mata saya rasa tidak wajar untuk saya ambil.

“Saya tak mahu cerita itu jadi tidak rasional walaupun pada dasarnya saya yakin Shahrulezad punya kepakaran dalam mengolah cerita itu menjadi sesuatu yang lebih baik,” luah Azhan.

Minggu lepas, drama rantaian popular itu dilaporkan akan difilemkan dan Shahrulezad bakal mengarahkan filem yang memulakan penggambaran pada Mac depan.

Antara pelakon yang dijangka akan terlibat adalah Amyra Rosli, Syafiq Kyle dan Noorkhiriah. -MHE TV

Iklan